Azam Jaya terbitkan 100 juta saham baharu, sasar kutip RM89 juta penuhi keperluan minimum bursa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azam Jaya terbitkan 100 juta saham baharu, sasar kutip RM89 juta penuhi keperluan minimum bursa

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 JulaiAzam Jaya Berhad berhasrat menerbitkan 100 juta saham baharu melalui usaha penempatan persendirian, bagi menarik minat pasaran dan mengukuhkan modal secara mampan.

 

Cadangan ini mewakili 20% daripada jumlah saham sedia ada yang berjumlah 500 juta unit, serta akan meningkatkan fleksibiliti kewangan dan menyediakan dana tambahan bagi menyokong operasi kumpulan.

 

Syarikat itu turut mencadangkan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) melibatkan 10% daripada jumlah saham diterbitkan untuk pengarah dan kakitangan sebagai tanda penghargaan ke atas sumbangan mereka.

 

"Langkah korporat ini membantu Azam Jaya mematuhi keperluan sebaran pegangan saham awam minimum ditetapkan iaitu 25%, kerana setakat ini hanya 19.95% sudah dipenuhi," maklumnya kepada Bursa Malaysia.

 

Berdasarkan harga indikatif RM0.8932 sesaham, syarikat menyasarkan meraih dana kasar kira-kira RM89.32 juta melalui langkah penempatan persendirian tersebut bagi memacu pertumbuhan perniagaan syarikat.

 

Azam Jaya_DagangNews2026

 

Daripada jumlah itu, RM10 juta diperuntukkan bagi pembelian jentera dan peralatan pembinaan serta peningkatan teknologi dan kecekapan operasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga.

 

Selain itu, Azam Jaya merancang sejumlah RM20 juta untuk pembayaran balik sebahagian pinjaman bank, yang dijangka dapat memberikan penjimatan faedah sebanyak RM1.1 juta setahun kepada kumpulan.

 

"Sebahagian besar dana, iaitu RM56.64 juta bakal digunakan sebagai modal kerja bagi membiayai projek-projek infrastruktur jalan raya sedia ada serta menyokong kos operasi harian pembinaan," katanya.

 

Langkah ini dijangka memperbaiki kedudukan kewangan secara ketara dengan menurunkan nisbah gear daripada 1.03 kali kepada 0.61 kali, sekali gus memberikan ruang imbangan duga yang lebih sihat.

 

Setakat ini, Azam Jaya mengekalkan buku tempahan terkumpul kukuh sebanyak RM1.35 bilion, termasuk tender jangka pendek menerusi penglibatan aktif dalam beberapa pakej projek Lebuhraya Pan Borneo.

 

Bagaimanapun ujarnya, segala cadangan ini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham ketika Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat pada 24 Julai 2026 di Kota Kinabalu, Sabah. - DagangNews.com