Dividen PETRONAS hanya 5% hingga 6% daripada hasil Kerajaan Persekutuan 2026, kata Kementerian Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dividen PETRONAS hanya 5% hingga 6% daripada hasil Kerajaan Persekutuan 2026, kata Kementerian Kewangan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Julai – Kementerian Kewangan menjelaskan dividen Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dianggarkan hanya menyumbang sekitar 5% hingga 6% daripada keseluruhan hasil kerajaan bagi tahun 2026.

 

Menurut kementerian itu, hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2026 diunjurkan berjumlah RM343.1 bilion, terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM270.4 bilion dan hasil bukan cukai sebanyak RM72.7 bilion.

 

"Daripada jumlah itu, dividen PETRONAS yang diunjurkan sebanyak RM20 bilion bagi 2026 dimasukkan di bawah kategori hasil bukan cukai," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 6 Julai.

 

Jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mengurangkan kebergantungan fiskal terhadap dividen PETRONAS susulan jumlah dividen yang diterima menurun daripada RM40 bilion pada 2023 kepada RM20 bilion yang diunjurkan bagi 2026.

 

Kementerian berkata, hasil cukai kekal menjadi sumber pendapatan utama kerajaan dengan menyumbang lebih 70% daripada keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan.

 

"Dividen yang diterima daripada PETRONAS hanya mewakili sekitar 5% hingga 6% daripada anggaran jumlah hasil kerajaan bagi 2026, sekali gus menunjukkan kerajaan tidak terlalu bergantung kepada prestasi syarikat tersebut," katanya.

 

Kementerian turut menjelaskan pengurusan fiskal Kerajaan Persekutuan bukan hanya melibatkan aspek kutipan hasil, sebaliknya merangkumi pengurusan perbelanjaan, pinjaman, hutang serta risiko fiskal.

 

Menurutnya, kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan terhadap hasil berkaitan petroleum memandangkan harga minyak mentah global yang sentiasa berubah-ubah.

 

"Hasil berkaitan petroleum pernah menyumbang sehingga 41.3% daripada keseluruhan hasil kerajaan pada 2009.

 

"Menerusi langkah-langkah penjanaan hasil yang dilaksanakan sejak 2023, sumbangan hasil berkaitan petroleum telah berjaya dikurangkan kepada 17.5% pada 2025 berbanding 28% pada 2022," katanya.

 

Bagi 2026, sumbangan hasil berkaitan petroleum diunjurkan terus berkurangan kepada 12.5%.

 

Sehubungan itu, kerajaan telah merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) yang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara.

 

Antara langkah yang diambil termasuk memperluaskan asas percukaian, memperkukuh pentadbiran cukai serta mempercepatkan pendigitalan sistem percukaian menerusi pelaksanaan e-Invois secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan hasil.

 

Kerajaan turut memperluaskan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), termasuk pengenalan cukai jualan import ke atas barangan bernilai rendah mulai Januari 2024, peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% bermula Mac 2024, serta semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.

 

Selain itu, kerajaan memperluaskan skop duti eksais ke atas minuman bergula, menyemak semula duti eksport minyak sawit mentah (MSM), menaikkan duti eksais minuman beralkohol sebanyak 10% mulai 1 November 2025 serta melaksanakan kenaikan duti eksais secara berperingkat ke atas produk tembakau.

 

Menurut kementerian itu, usaha memperkukuh fiskal tidak hanya bergantung kepada pembaharuan hasil semata-mata, malah turut disokong oleh pelaksanaan pelbagai dasar di bawah kerangka Ekonomi MADANI bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

 

"Kesan positif daripada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dijangka akan terus mengukuhkan kedudukan fiskal negara," katanya. - DagangNews.com