TNB bekal elektrik kepada 36 pusat data pada suku pertama 2026 dengan kapasiti 4.5GW - PETRA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB bekal elektrik kepada 36 pusat data pada suku pertama 2026 dengan kapasiti 4.5GW - PETRA

KUALA LUMPUR 7 Julai - Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah membekalkan elektrik kepada 36 pusat data yang sedang beroperasi dengan kapasiti bekalan yang dirancang sekitar 4.5 gigawatt (GW) sehingga suku pertama 2026 (1Q2026), menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

 

Kementerian itu berkata, TNB turut memenuhi permintaan bekalan elektrik bagi 23 projek pusat data yang sedang dalam pembinaan, dengan kapasiti permintaan maksimum sebanyak 3.8GW.

 

Menurutnya, berdasarkan unjuran Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Bilangan 1/2026, permintaan puncak elektrik dijangka meningkat dengan ketara daripada 21.3GW pada 2026 kepada 33.5GW menjelang 2035, didorong oleh perkembangan pesat pusat data dan industri berteknologi tinggi.

 

"Penggunaan elektrik oleh sektor pusat data sahaja dijangka menyumbang sehingga 31%, atau bersamaan 73,274 gigawatt-jam (GWh), daripada jumlah permintaan elektrik negara pada 2035, berbanding hanya 7% pada tahun ini," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis bertarikh 6 Julai 2026 yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

 

Kementerian itu menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai kedudukan semasa TNB dalam membekalkan tenaga elektrik bagi tempoh 10 tahun akan datang, termasuk keperluan pusat data, industri berteknologi tinggi dan peralihan kepada tenaga hijau, serta cadangan menaik taraf grid nasional.

 

Dalam konteks peralihan negara kepada tenaga hijau, PETRA berkata, kerajaan kekal komited untuk memastikan campuran kapasiti bekalan elektrik negara dioptimumkan dengan penggunaan 70% sumber tenaga bersih menjelang 2050.

 

Daripada jumlah itu, 58% akan disumbangkan oleh tenaga boleh diperbaharui (RE), 10% daripada hidrogen dan 2% daripada tenaga nuklear, seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat JPPPET Bilangan 1/2026.

 

Bagi menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui yang lebih meluas ke dalam sistem bekalan elektrik negara, kerajaan telah meluluskan peruntukan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM43 bilion kepada TNB di bawah rangka kerja Incentive-Based Regulation (IBR) bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) untuk fasa pelaksanaan 2025 hingga 2027. - BERNAMA