KUALA LUMPUR 7 Julai – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memastikan peralihan kepada sistem pengurusan pekerja asing berpusat dilaksanakan secara lancar dan menggunakan platform baharu itu untuk melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) yang telah lama dicadangkannya.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, penyelarasan proses kelulusan kuota pekerja asing di bawah KESUMA merupakan peluang terbaik untuk kerajaan memperkenalkan MTLM bagi menggantikan pendekatan sedia ada yang menetapkan had kuota dan nisbah pekerja asing mengikut sektor.
Menurut beliau, menerusi mekanisme itu, syarikat dibenarkan mengambil pekerja asing berdasarkan keperluan operasi sebenar dengan kadar levi ditentukan mengikut tahap kebergantungan terhadap tenaga kerja asing bagi menggalakkan automasi serta mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat.
Di bawah cadangan FMM, syarikat yang mempunyai pekerja asing sekitar 10 hingga 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja boleh menikmati kadar levi yang lebih rendah, malah berpotensi di bawah kadar semasa RM1,850 bagi setiap pekerja.
Sebaliknya, syarikat yang mempunyai kebergantungan lebih tinggi terhadap pekerja asing akan dikenakan levi yang lebih tinggi mengikut formula yang telus dan diumumkan lebih awal.
Jacob berkata, usaha mentransformasikan pasaran buruh tidak boleh dilaksanakan menggunakan pendekatan yang sama bagi semua industri, khususnya sektor pembuatan berorientasikan eksport yang masih memerlukan tenaga kerja operasi dan separa mahir untuk memenuhi permintaan pengeluaran.

“MTLM seharusnya berfungsi sebagai instrumen peralihan ekonomi dan industri, bukannya dasar yang menyukarkan akses syarikat kepada pekerja asing, manakala hasil kutipan levi wajar disalurkan semula bagi menyokong pelaburan dalam automasi, pembangunan tenaga kerja dan peningkatan produktiviti, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Peralihan kepada sistem pengurusan pekerja asing yang baharu mesti disokong dengan garis panduan operasi yang jelas, kapasiti sistem yang mencukupi untuk menampung jumlah permohonan serta penglibatan berterusan bersama persatuan industri bagi mengelakkan kelewatan dan kesesakan baharu dalam proses permohonan.
“Sebarang penambahbaikan terhadap ekosistem pengambilan pekerja asing secara digital pada masa hadapan juga perlu dibangunkan berasaskan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) dan platform eQuota sebagai pusat sehenti, bukannya mewujudkan sistem baharu yang bertindih sehingga mengelirukan majikan,” katanya dalam satu kenyataan
Pada 1 Julai lalu, Kabinet memutuskan pusat sehenti pengurusan pekerja asing diletakkan sepenuhnya di bawah KESUMA, berkuat kuasa 6 Julai. Menerusi sistem baharu itu, semua permohonan kuota pekerja asing perlu dikemukakan secara eksklusif melalui modul eQuota dalam FWCMS, manakala pemprosesan permohonan secara manual mengikut kes telah dihentikan.
FMM menyifatkan langkah tersebut sebagai pembaharuan yang telah lama dinantikan kerana mampu menyelaraskan proses pengambilan pekerja asing di Malaysia, sekali gus menangani isu kelulusan yang sebelum ini melibatkan pelbagai agensi dan proses yang berasingan.
Pada masa sama, FMM menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan KESUMA serta agensi berkaitan bagi memastikan reformasi itu dapat dilaksanakan secara berkesan, selain membantu menangani isu-isu yang menjejaskan akses pengilang kepada tenaga kerja asing. - DagangNews.com








