Kesan El Nino beri kelebihan sektor perladangan jual harga sawit tinggi hingga 2027 - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesan El Nino beri kelebihan sektor perladangan jual harga sawit tinggi hingga 2027 - Kenanga Research

Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 JulaiSektor perladangan dijangka terus menikmati prestasi kukuh sehingga 2027 apabila kesan fenomena El Niño menjejaskan teruk bekalan minyak makan global, termasuk sawit.

 

Menurut Kenanga Research, situasi itu dijangka mengekalkan harga minyak sawit mentah (MSM) pada paras tinggi, meskipun pengeluar masih berdepan isu tekanan kos operasi dan ketidaktentuan geopolitik.

 

Justeru, firma itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor tersebut berikutan asas industri perladangan yang semakin teguh walaupun pasaran ekuiti global pula masih berdepan turun naik.

 

"Bekalan minyak makan global diunjur terus terhad sepanjang 2026 walaupun inventori permulaan adalah kira-kira 4% lebih tinggi daripada jangkaan awal sebelum ini," katanya dalam nota analisis.

 

Menurut Kenanga Research, ketidaktentuan di Timur Tengah turut menyokong permintaan sawit apabila harga minyak mentah yang tinggi memacu penggunaan biodiesel, khususnya di Indonesia dan Malaysia.

 

Firma itu berpandangan permintaan terhadap MSM berpotensi terus meningkat selagi harga tenaga dan hidrokarbon kekal tinggi, sekali gus mengukuhkan prospek sektor perladangan dalam tempoh sederhana.

 

sektor perladangan_DagangNews2026

 

Pada masa sama, ia menyifatkan risiko kenaikan terbesar datang daripada kemungkinan berlakunya fenomena El Niño lebih kuat di Asia Tenggara, yang berpotensi menjejaskan pengeluaran minyak sawit.

 

"Berdasarkan sejarah, tahap kuat mampu mengurangkan minyak sawit global hingga 5% setahun, manakala jika sederhana mencetuskan kenaikan harga akibat kebimbangan hasil susut," kata Kenanga Research.

 

Susulan perkembangan cuaca terkini, ia menaikkan unjuran purata harga MSM kepada RM4,400 satu tan bagi 2026 berbanding RM4,250, manakala unjuran bagi 2027 disemak kepada RM4,450 daripada RM4,200.

 

Firma itu kini menjangkakan harga MSM kekal tinggi sepanjang separuh kedua 2026 sebelum mencapai kemuncak pada separuh pertama 2027 apabila kesan El Niño mula memberi impak yang lebih ketara.

 

Kenanga Research berkata, walaupun syarikat perladangan masih berdepan peningkatan kos pengangkutan dan baja, tekanan terhadap margin keuntungan dijangka dikurangkan melalui harga sawit lebih tinggi.

 

"Selain itu, kebanyakan pengeluar sudah memperoleh bekalan baja bagi 2026 yang lebih awal sebelum kenaikan harga berlaku, sekali gus mengukuhkan prospek positif sektor tersebut," katanya. - DagangNews.com