KUALA LUMPUR 7 Julai - Proses perolehan sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) baharu bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun, dengan empat negara telah disenarai pendek sebagai pembekal berpotensi.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, perolehan sistem pengganti itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan operasi TLDM tidak terjejas susulan pembatalan kontrak NSM sebelum ini.
Menurut beliau, penyenaraian pendek itu dibuat selepas penilaian melibatkan aspek operasi dan teknikal, namun keputusan muktamad masih belum dibuat kerana proses tender belum dibuka.
"Kami perlu menilai semula semua aspek termasuk keperluan operasi dan peruntukan kewangan. Ini merupakan proses baharu bagi memperoleh sistem berkenaan dan paling awal ia dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun.
"Kami tidak mahu tahap kesiapsiagaan menurun. Kapal-kapal akan siap dibina, ditauliahkan dan beroperasi, tetapi ia perlu dilengkapi dengan sistem persenjataan yang sesuai," katanya pada sidang media selepas pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 hari ini.
Pada Mei lalu, kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem NSM dan sistem pelancar berkaitannya dengan alasan teknologi pertahanan negara itu hanya akan dieksport kepada sekutu serta rakan kongsi terdekat, termasuk negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Susulan keputusan itu, kerajaan Malaysia kini perlu mendapatkan sistem alternatif bagi melengkapkan enam kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) milik TLDM.
Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu Dewan Rakyat kerajaan akan mengadakan rundingan pertama dengan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace pada pertengahan Ogos ini bagi mencapai penyelesaian berhubung pembatalan kontrak NSM.
Kontrak asal perolehan NSM bernilai 124 juta euro (kira-kira RM571.9 juta) telah dimeterai pada April 2018 bagi membekalkan sistem peluru berpandu kepada enam kapal LCS yang kini berada dalam pelbagai peringkat pembinaan.
Satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengenal pasti sistem peluru berpandu pengganti, dengan Turkiye, Korea Selatan dan dua negara Eropah disenarai pendek sebagai pembekal yang berpotensi.
Dalam perkembangan berasingan, Malek berkata siasatan berhubung insiden kematian semasa latihan ketenteraan di Kem Hobart, Gurun, Kedah kini berada pada peringkat akhir.
Beliau berkata, ATM turut sedang menyemak semula prosedur operasi standard (SOP), protokol latihan, kemudahan serta mekanisme pemantauan bagi mengenal pasti aspek yang boleh ditambah baik. - DagangNews.com








