KUALA LUMPUR 7 Julai – Harga ubat di Malaysia meningkat 2.7% pada 2025 berbanding 2.2% pada tahun 2024 dan menjadikan ia komponen terbesar dalam perbelanjaan kesihatan isi rumah negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, data itu diperolehi berdasarkan Laporan Awalan Indeks Harga Kesihatan (IHK) Malaysia 2025 yang dikeluarkan DOSM hari ini.
Beliau berkata, kategori ubat mencatat bahagian terbesar dalam perbelanjaan kesihatan isi rumah di Malaysia dengan menyumbang 38.9% kepada Indeks Harga Kesihatan (IHK).
“Inflasi bagi kategori ubat meningkat kepada 2.7% pada 2025 berbanding 2.2% pada 2024, manakala kategori peralatan kesihatan turut mencatat peningkatan kepada 1.2% daripada 0.6% dalam tempoh sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara keseluruhan, inflasi kesihatan Malaysia meningkat kepada 3% pada 2025 berbanding 1.4% pada 2024, didorong oleh peningkatan kos perkhidmatan kesihatan.
Beliau berkata, kategori perkhidmatan kesihatan merekodkan peningkatan tertinggi iaitu 4.4% pada 2025 berbanding 0.9% pada tahun sebelumnya.

Kenaikan tersebut terutama dipengaruhi oleh peningkatan perbelanjaan insurans yang mencatat pertumbuhan 9%, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos berkaitan penjagaan kesihatan.
Mohd Uzir berkata, IHK mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan berkaitan kesihatan berdasarkan corak perbelanjaan isi rumah, serta menjadi rujukan bagi memahami trend perubahan kos penjagaan kesihatan di Malaysia.
Beliau berkata, IHK Malaysia meliputi komponen berkaitan kesihatan daripada beberapa kumpulan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP), berbeza dengan sesetengah negara lain yang mengukur inflasi kesihatan berdasarkan kategori kesihatan dalam IHP masing-masing.
Dalam perbandingan antarabangsa, kadar inflasi kesihatan bagi negara terpilih pada 2025 berada dalam julat antara negatif 0.8% hingga 5.3%. Vietnam merekodkan kadar lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu 5.3%, manakala Thailand mencatat kadar terendah pada negatif 0.8%.
Mohd Uzir berkata, statistik IHK penting kepada kerajaan, pihak berkepentingan dan orang ramai bagi mengenal pasti trend perubahan harga barangan serta perkhidmatan kesihatan, sekali gus menyokong perancangan, pelaksanaan dan pemantauan dasar berkaitan kos penjagaan kesihatan.
Beliau menambah, penerbitan IHK turut melengkapi usaha kerajaan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan menyediakan statistik yang lebih menyeluruh dan relevan mengikut keperluan semasa. - DagangNews.com








