KUALA LUMPUR 7 Julai – Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dijangka kekal 2.75% dilihat menyokong pertumbuhan sektor hartanah dengan memberikan kepastian kepada pembeli rumah dan perniagaan.
Firma perunding hartanah IQI namun tidak menolak kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah sebelum akhir 2026 jika ekonomi berkembang kukuh dan tekanan inflasi meningkat balik.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan OPR pada mesyuarat 9 Julai 2026, iaitu setahun tidak berubah.
"Kadar faedah yang stabil membolehkan pembeli rumah dapat merancang komitmen pinjaman perumahan dengan lebih yakin kerana kos pembiayaan kekal dapat dijangka stabil," jelasnya dalam kenyataan.
Menurutnya, walaupun senario asas IQI menjangkakan OPR dikekalkan sepanjang tahun ini, BNM masih ada dua lagi mesyuarat MPC yang membuka ruang kenaikan jika keadaan memerlukan dasar lebih ketat.
Ujar Ansari, sebarang kenaikan kadar faedah hanya berlaku jika momentum pertumbuhan ekonomi jauh lebih kukuh daripada unjuran semasa, dan bukannya berdasarkan isu keadaan ekonomi pada ketika ini.

Beliau berkata, ekonomi terus menunjukkan prestasi baik apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4% pada suku pertama 2026, yang mengatasi banyak negara serantau walaupun sederhana.
"Pada masa sama, IQI menyifatkan harga tenaga terutama minyak mentah sebagai faktor paling penting yang akan mempengaruhi segala keputusan dasar monetari BNM dalam tempoh beberapa lagi," tambahnya.
Dari sudut pasaran hartanah jelas Ansari, kadar pinjaman yang stabil terus menyokong permintaan apabila Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 1.7% kepada 235.2 mata pada suku pertama 2026.
Situasi itu menyaksikan purata harga rumah naik kepada RM507,533, dan sebanyak 52,936 unit rumah bernilai RM22.6 bilion berjaya dijual, mewakili 59%** daripada keseluruhan transaksi hartanah.
IQI turut menggalakkan pembeli rumah pertama memanfaatkan pengecualian penuh duti setem ditawarkan kerajaan sehingga penghujung 2027, yang boleh menjimatkan RM11,000 bagi nilai sehingga RM500,000.
"Kami menjangkakan harga rumah dan jumlah transaksi terus meningkat dalam beberapa suku lagi, dipacu kadar faedah stabil, pertumbuhan ekonomi serta inflasi sederhana," ujar Ansari. - DagangNews.com








