KUALA LUMPUR 7 Julai – Kerajaan memberi jaminan bank tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya terhadap usahawan yang memohon atau menerima kemudahan pembiayaan khususnya ketika mereka berdepan masalah aliran tunai atau kekangan modal kerja jangka pendek.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah dijelaskan kepada pengurusan bank dalam satu pertemuan di Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa bulan lalu bagi memastikan institusi kewangan mematuhi dasar dan peraturan yang ditetapkan.
Menurut beliau, walaupun bank-bank swasta menguruskan operasi masing-masing secara bebas, BNM kekal berperanan sebagai badan kawal selia yang bertanggungjawab memastikan semua institusi kewangan bertindak mengikut garis panduan serta tidak mengambil tindakan secara sewenang-wenangnya terhadap pelanggan.
"Bank Negara akan memastikan bank-bank swasta tidak mengambil tindakan sesuka hati terhadap usahawan atau peminjam yang mendapatkan pembiayaan," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu adakah usahawan mikro yang mengalami kekangan modal kerja dalam tempoh singkat dikenakan tindakan sewenang-wenangnya oleh bank, termasuk penamatan kemudahan pembiayaan.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan kerajaan tidak boleh menghalang bank daripada mengambil tindakan sekiranya peminjam gagal memenuhi obligasi pembiayaan atau melanggar syarat-syarat pembiayaan yang telah dipersetujui.
Beliau berkata, dalam keadaan sedemikian, tindakan yang diambil adalah berdasarkan peraturan serta terma perjanjian pembiayaan dan bukannya dibuat secara arbitrari.
Dalam pada itu, Takiyuddin turut meminta kerajaan menjelaskan langkah yang akan diambil bagi memberi lebih kebebasan kepada bakal peminjam untuk memilih sektor perniagaan serta negara yang ingin diterokai bagi tujuan pelaburan.
Menjawab soalan itu, Anwar berkata, kesukaran syarikat tempatan menjalankan urusan perniagaan dengan beberapa negara seperti Iran dan Rusia sebelum ini berpunca daripada ketidaktentuan peraturan selain tekanan luar, khususnya sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Menurut beliau, kerajaan bagaimanapun berjaya mengadakan rundingan dengan kedua-dua negara berkenaan bagi memudahkan pengurusan pembayaran serta meningkatkan aktiviti perdagangan antara Malaysia dengan negara terbabit.
Beliau berkata, isu berkaitan sekatan terhadap Rusia termasuk urusan melibatkan minyak kini telah diselesaikan, manakala kerajaan juga telah memberi kelulusan untuk transaksi perdagangan dengan Iran, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk mengembangkan pasaran ke negara berkenaan. - DagangNews.com








