Top Glove kembali catat untung bersih RM5.47 juta pada 1QFY25 dipacu aliran pesanan lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove kembali catat untung bersih RM5.47 juta pada 1QFY25 dipacu aliran pesanan lebih baik

Gambar: Johardy/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Top Glove Corp Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.47 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2024 (1QFY25) berbanding kerugian bersih RM57.7 juta pada suku tahun lalu dipacu aliran masuk pesanan yang lebih baik.

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku itu melonjak 79.5% kepada RM885.9 juta berbanding RM493.4 juta tahun lepas.

 

Pemulihan kumpulan didorong aliran masuk pesanan yang berterusan, memacu kadar penggunaan yang lebih tinggi sebanyak 66% di seluruh kilang yang beroperasi, sambil meningkatkan kecekapan kos

 

Selain itu katanya, pengukuhan dolar AS berbanding ringgit pada suku dalam tinjauan membantu meningkatkan margin.

 

Pengarah Urusannya, Lim Cheong Guan berkata, lonjakan keuntungan pada 1QFY25 adalah membanggakan, tetapi lebih penting, ia menandakan permulaan perjalanan yang menarik untuk memulihkan Top Glove kedudukan seperti sebelum ini.

 

“Kami digalakkan oleh aliran masuk pesanan yang stabil dan peluang yang timbul daripada peralihan dinamik perdagangan global. 

 

"Aliran ini, ditambah pula dengan inisiatif kualiti dan kecekapan kos kami, meletakkan kami dengan baik untuk pertumbuhan yang dipercepatkan ke arah mengukuhkan semula kedudukan kepimpinan kami.

 

“Ketika kami bergerak ke hadapan, kami tetap teguh dalam menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan dan merebut peluang di hadapan dan yakin yang terbaik akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Top Glove pada Ogos dan September 2024 menyemak semula harga jualan puratanya (ASP) ke atas, berikutan kos bahan mentah yang lebih tinggi dan dolar AS yang lebih lemah pada 4QFY24.

 

Kesan pelarasan harga itu berlaku hanya menjelang akhir 1QFY25, dengan kesan penuh dijangka dapat dilihat pada 2QFY25.

 

Harga bahan mentah kekal bercampur-campur suku ke suku, dengan purata harga pekat lateks asli meningkat sebanyak 4% kepada RM6.88/kg, manakala purata harga lateks nitril turun 3% kepada AS$0.94/kg.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu optimis mengenai prospeknya, dengan pesanan terus mengalir ketika industri sarung tangan semakin pulih.

 

Kumpulan itu berkata, tumpuan kukuh pembuat sarung tangan terhadap kecemerlangan operasi, digabungkan dengan asas industri yang teguh dan peningkatan kesedaran kesihatan dan kebersihan selepas wabak, dijangka memacu pertumbuhan permintaan yang mampan.

 

Selain itu, Top Glove berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan hasil daripada tarif AS ke atas sarung tangan keluaran China, mewujudkan peluang baharu dalam pasaran utama.

 

Kesan daripada perubahan ini dijangka akan dirasai dengan lebih ketara mulai 2QFY25 dan seterusnya.

 

“Dalam hal ini, kumpulan itu akan secara proaktif mempelbagaikan risiko di seluruh negara operasinya di Malaysia, Thailand dan Vietnam untuk mengurangkan keadaan geopolitik yang terus meningkat dan kekal tidak dapat diramalkan," katanya. - DagangNews.com