KUALA LUMPUR 20 Dis - Prospek FY25 SP Setia Bhd kekal positif disokong oleh taman perindustrian yang bakal menjadi pemacu pertumbuhan utama kumpulan, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, hasil penjualan 2.42 hektar tanah SP Setia Bhd di Taman Pelangi, Johor Bahru bagi membangunkan projek apartmen servis premium bakal membawa manfaat kepada pertumbuhan kumpulan.
Firma penyelidikan itu berpendapat positif terhadap pelupusan tanah bernilai RM156.8 juta itu kerana harga premiumnya (RM600.9 setiap kaki persegi), iaitu 20% melebihi penilaiannya.
"Hasil daripada jualan boleh digunakan untuk pelaburan strategik, modal kerja dan pengurangan hutang, dan untuk menyokong projek di Australia akan datang.
"Selepas penjualan tanah, kami menganggarkan penggearan bersih menurun kepada 0.34x," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Selain itu, firma tersebut menaikkan unjuran hasil FY25 dan FY26 SP Setia, masing-masing pada 25.7% dan 1.9%.
"Unjuran kami termasuk keuntungan bersih daripada jualan tanah sebanyak RM107.8 juta pada FY25 dan pembiayaan yang lebih rendah kos pada FY26.
"Oleh itu, kami mengekalkan saranan "beli" terhadap SP Setia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.35," katanya.
Firma tersebut juga berkata, antara risiko terhadap saranan SP Setia termasuk penjualan hartanah yang lebih perlahan daripada jangkaan dan kelewatan mendapat kelulusan projek.
Dalam pada itu, Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan saranan "Neutral" ke atas SP Setia dengan TP tidak berubah pada RM1.30 sesaham.
"SP Setia masih mempunyai baki tanah yang belum dibangunkan seluas kira-kira 454.5 hektar di Wilayah Selatan selepas pembelian tanah di Taman Pelangi selesai dan kami faham kumplan bercadang untuk membangunkan tanah lebihan itu dalam tempoh 10 tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu juga berkata, fokus utama SP Setia adalah untuk membangunkan simpanan tanahnya di Wilayah Selatan untuk menjadi estet perindustrian terdiri daripada taman eko-industri dan pembangunan perbandaran akan datang.
"Di tempat lain, kami memahami SP Setia mempunyai rancangan untuk melancarkan projek bernilai RM1.97 bilion bagi baki FY24," katanya. - DagangNews.com








