KUALA LUMPUR 25 Feb – Swift Haulage Berhad mencatat prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan jumlah hasil meningkat kepada RM772.2 juta, naik 7.7% berbanding RM716.8 juta pada 2024.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) asas syarikat meningkat 12.5% kepada RM40.4 juta, walaupun PBT dilaporkan menurun disebabkan faktor asas tinggi tahun sebelumnya yang melibatkan keuntungan sekali sahaja daripada penjualan saham Global Vision Logistics.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata segmen kontena dan pengangkutan darat kekal sebagai penyumbang utama, membentuk lebih 71% daripada jumlah hasil.
Segmen gudang, depot kontena, dan penghantaran barangan turut mencatat pertumbuhan, mencerminkan model perniagaan Swift yang berdaya tahan dan pelbagai.
Ketua Pegawai Eksekutif Swift Haulage, Loo Yong Hui berkata prestasi FY2025 menunjukkan kekuatan platform logistik bersepadu syarikat.
“Projek baharu Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam yang dijangka siap pada suku kedua 2026 akan menambah 2.8 juta kaki persegi kapasiti gudang, selain operasi rantaian sejuk yang akan menarik permintaan sektor makanan, farmaseutikal dan barangan mudah rosak.
“Syarikat mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan baki tunai RM54 juta dan nisbah hutang bersih 1.06 kali berbanding dana pemegang saham,” katanya.
Lembaga pengarah juga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.8 sen sesaham yang akan dibayar pada 10 April 2026.
Swift Haulage mensasarkan pertumbuhan mampan melalui kecekapan operasi, pengembangan armada kenderaan elektrik, dan peluasan ke Malaysia Timur bagi merebut permintaan perdagangan yang semakin meningkat. - DagangNews.com








