SRKK AI lancar prospektus IPO, sasar raih RM25 juta menerusi penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SRKK AI lancar prospektus IPO, sasar raih RM25 juta menerusi penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Jun - SRKK AI Bhd melancarkan prospektus penyenaraiannya di Pasaran ACE, dengan sasaran mengumpul lebih RM20 juta bagi membiayai pelan pengembangan syarikat perkhidmatan teknologi maklumat itu.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) berharga 32 sen sesaham itu turut dijangka menjana tambahan RM4.16 juta menerusi tawaran jualan saham sedia ada oleh lebih sedozen pemegang saham melalui dua syarikat tujuan khas, menurut prospektus berkenaan.

 

Permohonan bagi IPO tersebut akan ditutup pada 25 Jun ini, manakala penyenaraian dijadualkan berlangsung pada 9 Julai.

 

Berpangkalan di Klang, SRKK menyediakan perkhidmatan perundingan, pelaksanaan projek dan perkhidmatan terurus kepada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penjual semula serta penyedia perkhidmatan lain di Malaysia dan Singapura.

 

Syarikat itu juga merupakan rakan bil langsung di bawah program Microsoft Cloud Solution Provider, yang membolehkan pembelian terus penyelesaian awan Microsoft sebelum dijual semula kepada vendor lain.

 

Hasil daripada IPO itu akan digunakan bagi inisiatif kecerdasan buatan (AI) syarikat, termasuk RM4 juta untuk menubuhkan makmal bagi menguji produk, mewujudkan akademi yang menawarkan kursus berkaitan AI, serta membangunkan penyelesaian analitik data dan risikan perniagaan milik sendiri yang dilengkapi keupayaan AI.

 

AI sebagai teras perniagaan

Ketua Pegawai Eksekutif SRKK AI, Yew Lip Sin berkata, syarikat sedang memperkukuhkan strategi yang meletakkan AI sebagai teras utama perniagaan.

 

"Kami sedang membangunkan rumusan teknologi maklumat berasaskan AI secara dalaman bagi menangani cabaran sebenar perniagaan untuk kelompok perusahaan yang lebih luas," katanya.

 

Syarikat itu turut memperuntukkan RM3.7 juta untuk membina pusat operasi keselamatan (security operations centre) dalaman serta RM1.84 juta bagi menyokong pengembangan perniagaan ke Indonesia.

 

Baki 53% daripada hasil IPO pula akan digunakan bagi tujuan penjenamaan dan pemasaran, modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian.

 

Yew merupakan antara pemegang saham yang akan merealisasikan sebahagian pegangan mereka dalam SRKK menerusi penjualan saham sedia ada yang dipegang oleh Joel Resources Sdn Bhd dan Five Loaves Sdn Bhd.

 

SRKK AI turut menetapkan dasar dividen untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 20% daripada keuntungan bersihnya kepada pemegang saham.

 

Keputusan Kewangan

Pada tahun lalu, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.9 juta daripada hasil berjumlah RM112.2 juta.

 

Lebih separuh daripada hasil tersebut disumbangkan oleh pendapatan berulang seperti yuran langganan penggunaan perkhidmatan awan, yuran kontrak perkhidmatan serta sewaan perkakasan dan perisian.

 

Baki hasil pula diperoleh daripada perkhidmatan perundingan dan pelaksanaan projek, jualan perkakasan serta perisian, selain yuran yang dikenakan kepada pemegang francais bagi perkhidmatan terurus.

 

TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com