Vestland raih kontrak RM65 juta daripada Scanwolf bagi projek pangsapuri servis 74 tingkat di Kuala Lumpur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vestland raih kontrak RM65 juta daripada Scanwolf bagi projek pangsapuri servis 74 tingkat di Kuala Lumpur

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jun - Vestland Berhad memperoleh kontrak bernilai RM65 juta daripada Scanwolf Trading & Construction Sdn. Bhd. bagi melaksanakan kerja-kerja cerucuk dan substruktur asas untuk pembangunan sebuah apartmen servis 74 tingkat di Jalan Pavillion, Kuala Lumpur.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vestland berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Vestland Infra Sdn. Bhd. (VISB), menerusi Surat Anugerah yang diterima pada 19 Jun 2026.

 

Projek berkenaan melibatkan pembinaan satu blok apartmen servis 74 tingkat yang turut merangkumi kemudahan tempat letak kereta, ruang bawah tanah, lot kedai dan kemudahan berkaitan di Lot 20006, Seksyen 19, Jalan Pavillion, Mukim Bandar Kuala Lumpur.

 

Menurut syarikat itu, skop kerja merangkumi reka bentuk dan pembinaan sistem asas bangunan termasuk kerja-kerja cerucuk serta substruktur.

 

Kerja pembinaan dijadual bermula pada 19 Jun 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 18 Jun 2028.

 

"Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Kumpulan Vestland sepanjang tempoh pelaksanaannya, tertakluk kepada tiada kelewatan material dalam jadual pembinaan," katanya.

 

Scanwolf Trading & Construction merupakan syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembinaan bangunan dan pembangunan hartanah selain menjalankan perniagaan reka bentuk serta pembuatan produk penyemperitan plastik dan perdagangan bahan guna industri.

 

Vestland berkata kontrak tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham baharu.

 

Kumpulan itu juga tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa daripada projek berkenaan selain risiko operasi biasa yang lazim dikaitkan dengan pelaksanaan kerja pembinaan.

 

Lembaga Pengarah Vestland berpandangan kontrak yang diperoleh itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan selaras dengan strategi kumpulan untuk terus mengembangkan buku pesanan serta memperkukuh kedudukan dalam segmen kerja asas dan infrastruktur pembinaan. - DagangNews.com