KUALA LUMPUR 20 Jun — Penganjur Himpunan RXZ Members 8.0 memutuskan untuk tetap meneruskan penganjuran acara itu mengikut jadual asal pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan, meskipun tarikh tersebut bertembung dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang ditetapkan pada 1 Ogos.
Keputusan itu diumumkan selepas pihak penganjur mengadakan beberapa siri perbincangan susulan pengumuman tarikh PRN, selain mengambil kira pelbagai pandangan yang diterima daripada peserta khususnya komuniti penunggang motosikal dari Negeri Sembilan.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata mereka memahami kekecewaan dan kebimbangan yang disuarakan oleh ramai ahli RXZ Members, terutama mereka yang telah lama merancang untuk menyertai perhimpunan tahunan berkenaan.
Katanya, sebahagian peserta telah membuat pelbagai persiapan termasuk mengambil cuti, menempah penginapan, menyediakan motosikal serta menyusun perjalanan lebih awal bagi menghadiri acara itu.
"Bagaimanapun, selepas meneliti keseluruhan aspek, pihak penganjur memutuskan adalah sukar untuk menukar tarikh penganjuran memandangkan pelbagai komitmen telah dibuat lebih awal.
"Antara faktor yang dipertimbangkan ialah komitmen melibatkan lokasi penganjuran, penyedia logistik, agensi berkaitan, penaja, peniaga serta penyertaan ribuan peserta dari seluruh negara," katanya ketika dihubungi DagangNews.

Perubahan tarikh pada saat akhir berisiko menjejaskan kelancaran keseluruhan penganjuran selain memberi implikasi kepada pelbagai pihak yang telah membuat persediaan sejak sekian lama.
Sehubungan itu, acara berkenaan akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 31 Julai hingga 1 Ogos.
Dalam masa sama, pihak penganjur menegaskan keputusan tersebut bukan bermaksud mereka mengabaikan kepentingan peserta dari Negeri Sembilan, sebaliknya dibuat selepas mempertimbangkan semua faktor secara menyeluruh.
Beliau berkata penganjur program turut menyatakan penghormatan terhadap tanggungjawab rakyat Negeri Sembilan untuk menunaikan kewajipan mengundi pada hari PRN dan menyerahkan sepenuhnya kepada peserta untuk membuat keputusan terbaik.
"Peserta yang dapat hadir ke perhimpunan itu akan sentiasa dialu-alukan manakala mereka yang tidak dapat hadir kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi tetap dianggap sebahagian daripada keluarga besar RXZ Members.
Perhimpunan RXZ Members bukan sekadar sebuah acara tahunan, sebaliknya menjadi platform yang mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan komuniti peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara," katanya.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli RXZ Members atas sokongan dan kesabaran yang diberikan selama ini serta berharap seluruh komuniti dapat memahami keputusan berkenaan demi memastikan kelancaran penganjuran himpunan edisi tahun ini.- DagangNews.com








