KUALA LUMPUR 19 Jun - Pasaran modal hutang (DCM) Malaysia dijangka mencecah AS$640 bilion menjelang akhir 2026, disokong oleh peningkatan pinjaman bukan berdaulat, pasaran domestik yang mendalam, pengukuhan ringgit serta inovasi dan integrasi digital yang berterusan, menurut Fitch Ratings.
Dalam satu ulasan, agensi penarafan itu berkata sukuk token pertama Malaysia telah diterbitkan pada separuh pertama 2026, manakala peraturan baharu yang mengawal selia hutang swasta dijangka mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pasaran.
Ketua Global Kewangan Islam Fitch, Bashar Al Natoor berkata, permintaan pelabur asing terhadap instrumen hutang Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan global.
Menurutnya, keadaan itu mencerminkan pengukuhan nilai ringgit, kadar hasil yang stabil serta kedalaman dan kematangan pasaran modal hutang tempatan.
“Malaysia juga dijangka kekal sebagai antara pasaran sukuk terbesar dunia serta antara pasaran modal hutang terbesar di ASEAN.
“Selain itu, semua sukuk Malaysia yang diberi penarafan oleh Fitch berada dalam kategori gred pelaburan,” katanya.
Sekuriti Hutang Kerajaan
Menurut Fitch, pasaran modal hutang Malaysia melebihi AS$610 bilion dari segi nilai tertunggak setakat akhir Mei 2026, mewakili peningkatan 6.5% tahun ke tahun, dengan sukuk merangkumi kira-kira 60% daripada keseluruhan pasaran.
“Sekuriti hutang kerajaan menyumbang kira-kira 58% daripada jumlah tertunggak pasaran modal hutang, walaupun sasaran kerajaan untuk mengurangkan hutang kerajaan Persekutuan kepada 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih rendah menjelang 2030 boleh mengehadkan penerbitan hutang berdaulat pada masa hadapan,” katanya.
Fitch berkata, penerbitan hutang berdaulat susut kira-kira 25% dalam tempoh lima bulan pertama 2026.
Sebaliknya, penerbitan bukan berdaulat meningkat 17% tahun ke tahun dan menyumbang 68% daripada jumlah penerbitan DCM, berbanding 58% dalam tempoh yang sama pada 2025.
Agensi itu turut menyorot pertumbuhan pembiayaan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan nilai hutang ESG tertunggak meningkat 44% tahun ke tahun kepada AS$20 bilion, disokong oleh insentif cukai.
Fitch turut menyatakan bahawa kadar hasil hutang kerajaan Malaysia kekal stabil sepanjang 2026 setakat ini walaupun pasaran global berdepan ketidaktentuan.
Selain itu, kebanyakan sukuk Malaysia yang diberi penarafan mempunyai tahap kecairan yang jauh lebih tinggi berbanding sukuk dari kebanyakan negara lain.
“Perang di Asia Barat mempunyai kesan langsung yang terhad terhadap pasaran modal hutang kerana kebanyakan penerbit dan pelabur adalah peserta domestik,” katanya.
Mengenai risiko, Fitch berkata faktor seperti pengurangan pinjaman kerajaan, sentimen pelaburan yang lebih berhati-hati, turun naik ringgit dan kadar faedah, perubahan harga komoditi, tekanan inflasi serta kesan tarif Amerika Syarikat berpotensi menjejaskan pertumbuhan pasaran modal hutang Malaysia. - BERNAMA








