Kemerosotan jualan mesin punca VisDynamics kembali catat kerugian RM2.4 juta bagi 1HFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemerosotan jualan mesin punca VisDynamics kembali catat kerugian RM2.4 juta bagi 1HFY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Jun — VisDynamics Holdings Berhad kembali mencatatkan kerugian bersih yang mencecah sebanyak RM2.439 juta bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir pada 30 April 2026.

 

Menurut makluman syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia, prestasi amat hambar itu dilaporkan berpunca daripada penurunan ketara dalam jualan mesin berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Kerugian bersih itu menunjukkan penyusutan kira-kira 48,800% berbanding keuntungan bersih sebanyak RM5,000 yang pernah direkodkan kumpulan tersebut pada tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025.

 

"Bagi sepanjang enam bulan itu, pendapatan kumpulan turut didapati menyusut kepada RM7.35 juta, daripada RM11.17 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya," jelas VisDynamics.

 

Bagaimanapun ujarnya, bagi prestasi suku kedua (2QFY26), syarikat menunjukkan tanda pemulihan berbanding suku sebelumnya dengan mencatatkan keuntungan bersih mencecah sebanyak RM631,000.

 

Meskipun merekodkan keuntungan pada tiga bulan berkenaan, angka tersebut disifatkan sebagai masih rendah jika dibandingkan dengan keuntungan bersih kira-kira RM954,000 pada suku kedua tahun 2025.

 

VisDynamics_DagangNews2026

 

VisDynamics menjelaskan prestasi keseluruhan dipengaruhi oleh trend kitaran industri semikonduktor dan elektronik, dengan peningkatan inventori kepada RM22.4 juta setakat April 2026 juga dilaksanakan.

 

"Usaha ini sebagai persediaan bagi potensi jualan masa hadapan, dan mengenai prospek masa hadapan, pengurusan kumpulan menyatakan keyakinan terhadap pemulihan pasaran semikonduktor dunia," katanya.

 

Penggunaan alat berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC) generasi baharu dijangka merangsang semula permintaan, dengan syarikat menjangkakan prestasi kewangan yang lebih positif.

 

Dalam perkembangan berkaitan, VisDynamics mengisytiharkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2025, yang sudah dibayar pada 28 Mei 2026.

 

Ia juga sedang menjalankan pembinaan bangunan kilang baharu dengan komitmen modal RM15 juta, dan RM6.79 juta dibayar setakat 30 April 2026 bagi memastikan kelancaran operasi. - DagangNews.com