VS Industry rugi RM32.9 juta pada suku ketiga, jangka prestasi FY2026 lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VS Industry rugi RM32.9 juta pada suku ketiga, jangka prestasi FY2026 lebih rendah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jun - VS Industry Bhd mencatat kerugian bersih sebanyak RM32.91 juta bagi suku ketiga berakhir 30 April 2026 (3QFY2026) berbanding keuntungan bersih RM23.77 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu susulan permintaan pelanggan yang lebih lemah dan kadar penggunaan kapasiti pengeluaran yang rendah.

 

Hasil kumpulan turut merosot 11.6% kepada RM804 juta berbanding RM909.42 juta sebelum ini, manakala tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu berkata prestasi yang lebih lemah berpunca daripada pengurangan tempahan oleh pelanggan utama berikutan sentimen pengguna global yang masih suram.

 

Menurutnya, langkah pengoptimuman kos yang dilaksanakan pelanggan turut memberi kesan kepada jumlah pesanan dan penggunaan kapasiti pengeluaran.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, VS Industry merekodkan kerugian bersih RM31.87 juta berbanding keuntungan bersih RM69.75 juta setahun lalu. Dalam tempoh sama, hasil susut 9.6% kepada RM2.65 bilion daripada RM2.93 bilion.

 

Kumpulan itu berkata, walaupun kadar tarif utama ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) telah disemak lebih rendah selepas beberapa keputusan mahkamah, ketidaktentuan dasar perdagangan global masih berterusan.

 

Selain itu, siasatan tarif khusus sektor yang dijalankan AS terhadap industri elektronik turut menjejaskan prospek sektor tersebut.

 

Sentimen Pengguna Global Kekal Lemah

Pada masa sama, gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah menambahkan lagi tekanan kepada persekitaran operasi semasa.

 

"Permintaan dalam pasaran akhir utama kumpulan masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang ketara.

 

"Sentimen pengguna global yang berterusan lemah telah mengurangkan tempahan daripada pelanggan utama dan menjejaskan kadar penggunaan kapasiti pengeluaran," katanya.

 

Menurut VS Industry, penggunaan kapasiti yang rendah menyebabkan kos tetap tidak dapat diserap sepenuhnya, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan kumpulan.

 

Syarikat itu turut memaklumkan operasi di Filipina masih belum mencapai tahap penggunaan kapasiti yang membolehkan kos tetap ditampung sepenuhnya.

 

Justeru, kumpulan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran sambil mengekalkan disiplin kawalan kos yang ketat.

 

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, VS Industry berkata terdapat petanda awal peningkatan aliran tempahan menjelang suku terakhir tahun kewangan semasa.

 

Bagaimanapun, kumpulan akan terus memberi keutamaan kepada amalan pengeluaran cekap, pengurusan kos yang berhemat dan peningkatan kecekapan operasi bagi memastikan daya tahan perniagaannya kekal terpelihara.

 

"Selepas mengambil kira semua faktor semasa, lembaga pengarah menjangkakan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026 akan lebih rendah berbanding tahun kewangan sebelumnya," katanya. - DagangNews.com