iCents menang kontrak RM7 juta pembekalan projek pembangunan pusat data di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

iCents menang kontrak RM7 juta pembekalan projek pembangunan pusat data di Indonesia

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 JuniCents Group Holdings Berhad memperluaskan kehadirannya dalam segmen pusat data (DC) serantau apabila memperoleh kontrak pembekalan bernilai RM6.95 juta di Indonesia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, tender berkenaan diraih anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn Bhd dengan perjanjian dimeterai pada 19 Jun 2026.

 

Katanya, kontrak baharu itu melibatkan sebuah syarikat pembinaan berpangkalan di Indonesia bagi membekalkan dan menghantar pelbagai produk DC untuk pembangunan sebuah projek di negara tersebut.

 

"Kontrak terkini berkenaan bernilai 30.27 bilion rupiah Indonesia atau dianggarkan bersamaan kira-kira RM6.95 juta termasuk dikenakan pelaksanaan beberapa cukai yang berkaitan," jelas iCents.

 

Selain itu tambah kumpulan tersebut, perjanjian berkenaan kekal berkuat kuasa bermula 17 Jun 2026 sehingga projek dapat disiapkan sepenuhnya namun tidak dijangka memberi sebarang kesan material.

 

Antaranya terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, penggearan atau hutang bersih, modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

iCents_DagangNews2026

 

Bagaimanapun ujar iCents, syarikat itu berpandangan yang projek baharu tersebut dijangka dapat memberi sumbangan secara positif kepada pertumbuhan dan prospek kumpulan dalam jangka panjang.

 

"Pada masa sama, projek ini juga dilihat sebagai adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan dan dikenal pasti masih lagi berada dalam kepentingan terbaik syarikat," katanya.

 

Menurut kenyataan kumpulan berkenaan, syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang lazim dikaitkan dengan pelaksanaan mana-mana kontrak dan projek.

 

Tambah iCents, pelbagai langkah mitigasi yang sewajarnya akan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan bagi memastikan pelaksanaan projek tersebut dapat berjalan dengan lancar.

 

Syarikat turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka ada sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

"Perjanjian berkenaan juga tidak memerlukan apa-apa kelulusan daripada pemegang saham ataupun mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan," kata kumpulan itu. - DagangNews.com