Malaysia-Korea meterai kerjasama projek tenaga boleh baharu Bio-CNG, buka peluang pelaburan RM700 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia-Korea meterai kerjasama projek tenaga boleh baharu Bio-CNG, buka peluang pelaburan RM700 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jun - Malaysia dan Republik Korea memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga boleh baharu menerusi pembangunan projek Bio-Compressed Natural Gas (Bio-CNG) berasaskan sisa sawit yang dijangka membuka peluang pelaburan bernilai RM700 juta di seluruh negara.

 

Inisiatif itu dimeterai melalui pertukaran Surat Hasrat (LOI) bagi Projek Naik Taraf Biogas Kilang Sawit Negeri Terengganu yang melibatkan syarikat tenaga boleh baharu Korea Selatan, Polaris Bio Co., Ltd. (Polaris Bio), Sudokwon Landfill Site Management Corporation (SLC) dan syarikat tempatan, MTC Orec Sdn. Bhd., dengan sokongan serta penyelarasan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).

 

Projek berkenaan akan menukarkan Palm Oil Mill Effluent (POME) atau efluen kilang minyak sawit kepada Bio-CNG, iaitu bahan api boleh baharu yang lebih bersih untuk kegunaan sektor pengangkutan, perindustrian dan penjanaan tenaga elektrik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, projek tersebut menandakan peralihan penting daripada fasa kajian kebolehlaksanaan kepada pelaksanaan sebenar dalam pembangunan industri Bio-CNG berasaskan sisa sawit di Malaysia.

 

"Berpandukan saluran pelaburan RM700 juta yang diumumkan tahun lalu, inisiatif ini membuktikan aspirasi Malaysia dalam pembangunan teknologi POME-ke-Bio-CNG kini bergerak ke peringkat pelaksanaan.

 

"Perkembangan ini berlaku ketika pengeluaran biogas dan biomethane global dijangka meningkat 22% antara 2025 hingga 2030," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut beliau, industri sawit negara menghasilkan sejumlah besar biojisim dan produk sampingan yang mempunyai potensi besar untuk ditukarkan kepada sumber tenaga bernilai tinggi.

 

Keselamatan Tenaga Negara

Katanya, inovasi seperti Bio-CNG bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu, malah membantu memperkukuh keselamatan tenaga negara serta menyokong agenda pembangunan rendah karbon.

 

Projek Bio-CNG Terengganu merupakan kesinambungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Bioeconomy Corporation dan Polaris Bio pada Oktober 2025 bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan pembangunan projek biogas di Malaysia.

 

Pelaksanaannya menyasarkan pembangunan lebih 20 kemudahan naik taraf biogas berasaskan POME di seluruh negara, dengan projek di Terengganu dijangka menjadi antara pembangunan perintis yang akan dijadikan model rujukan untuk projek-projek seterusnya.

 

Selain menjana tenaga boleh baharu, pelaksanaan projek secara nasional dijangka mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 384,000 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

 

Pada masa sama, projek tersebut turut menyokong sasaran yang digariskan dalam National Energy Transition Roadmap (NETR) untuk meningkatkan sumbangan tenaga boleh baharu kepada 40% daripada campuran tenaga negara menjelang 2035.

 

Pengiktirafan di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris

Dalam perkembangan berkaitan, projek itu turut mencipta sejarah apabila menjadi projek Malaysia-Korea pertama yang menerima Surat Pengiktirafan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris.

 

Pengiktirafan tersebut membuka laluan kepada kerjasama pengurangan karbon rentas sempadan antara kedua-dua negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan tenaga hijau dan bioekonomi di rantau ini.

 

Presiden SLC, Song Byeong-eok berkata, organisasinya komited untuk menyokong projek-projek iklim antarabangsa yang mampu memberikan manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi.

 

"SLC telah berjaya merekodkan lebih 8.82 juta tan pengurangan pelepasan gas rumah hijau sejak 2006 dan kami berharap dapat menjayakan projek ini sambil memperkukuh hubungan Malaysia-Korea dalam sektor tenaga boleh baharu," katanya.

 

Kerja pembangunan awal projek dijangka bermula pada 2027, manakala operasi komersial disasarkan bermula pada 2029.

 

Selain pemindahan teknologi dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan, projek tersebut dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh kepakaran tempatan serta merangsang pembangunan ekosistem bioekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan. - DagangNews.com