MICCI gesa syarikat perkukuh daya tahan hadapi ketidaktentuan global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MICCI gesa syarikat perkukuh daya tahan hadapi ketidaktentuan global

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Jun - Dewan Persatuan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) menggesa komuniti perniagaan memperkukuh daya tahan dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat susulan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta perubahan landskap perdagangan antarabangsa.

 

Presiden MICCI, Christina Tee berkata, konflik yang sedang berlaku di Asia Barat kini memberi kesan langsung kepada pasaran global menerusi peningkatan kos tenaga, gangguan aliran perdagangan, keputusan pelaburan yang lebih berhati-hati serta kenaikan kos operasi syarikat.

 

Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan bahawa sebarang peristiwa yang berlaku di luar negara mampu memberi impak besar kepada perniagaan di Malaysia.

 

"Hari ini, konflik di Asia Barat mencetuskan kesan berantai kepada pasaran global dengan mempengaruhi harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan dan kos operasi.

 

"Ia menjadi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh di luar sempadan negara boleh memberi kesan secara langsung dan meluas kepada perniagaan di Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-53 dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI yang berlangsung semalam.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin yang menyertai sesi dialog bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi dan Pemudahcaraan Pelaburan MIDA, Zalina Zainol serta Pengarah Bahagian Perancangan Strategik MATRADE, Noor Hayati Abu Noh.

 

Sesi tersebut membincangkan prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan serta kesan konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara.

 

Menurut Christina, syarikat-syarikat di Malaysia kini mula merasai gelombang pertama kesan ketidaktentuan global melalui peningkatan kos logistik, harga bahan api dan tenaga yang lebih tinggi serta pasaran yang semakin tidak menentu.

 

Bagaimanapun, beliau menjangkakan impak yang lebih besar mungkin hanya akan dirasai dalam tempoh beberapa bulan akan datang atau pada tahun hadapan.

 

"Komuniti perniagaan telah belajar bahawa ketidaktentuan bukan lagi satu pengecualian. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi satu kelebihan daya saing, sebaliknya menjadi satu keperluan," katanya.

 

Walaupun berdepan cabaran global yang berterusan, beliau berpandangan Malaysia masih berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan rantaian bekalan dunia dan peningkatan integrasi ekonomi serantau.

 

Katanya, minat pelabur terhadap rantau ASEAN yang terus meningkat turut membuka peluang baharu kepada negara untuk menarik lebih banyak pelaburan asing. - DagangNews.com