Tawaran awam permulaan Liftech terlebih langgan 18.91 kali, kutip permohonan berjumlah RM91.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran awam permulaan Liftech terlebih langgan 18.91 kali, kutip permohonan berjumlah RM91.3 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Jun — Tawaran awam permulaan (IPO) Liftech Group Holdings Berhad mendapat sambutan positif daripada para pelabur apabila bahagian awamnya terlebih langgan sebanyak 18.92 kali.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai baik menjelang penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 Jun 2026.

 

Jelasnya, sebanyak 5,636 permohonan melibatkan 314.74 juta saham bernilai RM91.3 juta diterima bagi merebut sejumlah 15.8 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada orang awam warga Malaysia.

 

"Bagi kategori pelabur Bumiputera, kira-kira 2,960 permohonan diterima bagi 161.55 juta saham sejurus ditutup pada 16 Jun 2026, yang mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 19.45 kali," tambah Liftech lagi.

 

Sementara itu ujar syarikat yang sudah beroperasi 34 tahun lalu, bahagian awam pula menerima sebanyak 2,676 permohonan bagi 153.24 juta saham dengan kadar terlebih langgan iaitu 18.40 kali.

 

Pada masa sama katanya, selain sambutan kukuh daripada pelabur runcit, kesemua 7.24 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada individu berkelayakan turut habis dilanggan dengan sepenuhnya.

 

Liftech_DagangNews2026

 

Liftech turut memaklumkan kesemua 39.37 juta saham sedia ada ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya ditempatkan.

 

"Sebanyak 32.63 juta saham kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian, meliputi 16.83 juta saham terbitan baharu dan 15.8 juta saham tawaran, juga habis dilanggan," jelasnya.

 

Bagi agihan penempatan persendirian kata kumpulan berkenaan, sejumlah 71.99 juta saham syarikat tersebut diperuntukkan kepada seramai 202 pelabur apabila IPO mula dibuka pada 8 Jun 2026 lalu.

 

Pelabur terbesar dalam penempatan itu menerima 9.52 juta saham atau 13.22% daripada keseluruhan saham, bersamaan pegangan kira-kira 3.02% dalam modal saham syarikat diperbesarkan selepas IPO.

 

Lima pelabur terbesar pula menguasai 18.99 juta saham atau 26.39% daripada jumlah saham itu, manakala 25 pelabur terbesar menerima 36.70 juta saham atau hampir 51% daripada keseluruhan saham.

 

"Syarikat dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE pada akhir bulan ini dengan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 314.94 juta saham selepas selesai pelaksanaan IPO," kata Liftech.

 

Sambutan kukuh terhadap tawaran saham ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek pertumbuhan kumpulan itu dalam sektor kejuruteraan dan rumusan infrastruktur industri. - DagangNews.com