TWL kuasai 45% ekuiti syarikat pelaburan hartanah, Fairise Odyssey bernilai RM42 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TWL kuasai 45% ekuiti syarikat pelaburan hartanah, Fairise Odyssey bernilai RM42 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 JunTWL Holdings Berhad mengambil langkah strategik memperkukuh portfolio pelaburan hartanahnya apabila memperoleh 45% ekuiti dalam Fairise Odyssey (M) Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata pengambilalihan itu melibatkan transaksi bernilai RM42 juta, dan dilaksanakan anak syarikat milik penuhnya, TWL Builders Sdn Bhd.

 

Subsidiari tersebut membeli 45,000 saham biasa dalam Fairise Odyssey daripada Lam Boon Ling. Ia terlibat dalam aktiviti pelaburan hartanah dan memiliki modal saham terbitan sebanyak RM100,000.

 

"Harga pembelian ini dipersetujui berdasarkan prinsip kesediaan pembeli dan penjual sendiri, tanpa ada sebarang liabiliti yang diambil alih oleh kumpulan susulan transaksi berkenaan," jelas TWL.

 

Katanya, keseluruhan pembiayaan bagi pengambilalihan tersebut akan menggunakan sumber dana dalaman kumpulan itu dengan usaha berkenaan membolehkan ia dapat memperluaskan lagi peluang perniagaan.

 

Pada masa sama ujarnya, langkah berkenaan juga meningkatkan kestabilan kewangan melalui pendapatan baharu serta potensi besar projek masa hadapan yang dapat disumbangkan terus oleh Fairie Odyssey.

 

TWL_DagangNews2026

 

Di samping itu tambah TWL, pengambilalihan syarikat tersebut juga dijangka dapat membantu dalam mengukuhkan lagi sumber syarikat bagi menyokong pertumbuhan kumpulan secara jangka panjang.

 

"Pihak lembaga pengarah tidak menjangkakan sebarang risiko khusus daripada transaksi tersebut selain risiko operasi dan pasaran yang lazim dihadapi dalam aktiviti perniagaan," tegasnya lagi.

 

Dari sudut kewangan, usaha itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham (EPS), aset bersih (NA), modal saham atau kedudukan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

Selain itu, TWL turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam urus niaga tersebut.

 

Jawatankuasa Audit dan Risiko selepas meneliti semua aspek berpendapat transaksi itu adalah adil, munasabah serta mengikut terma komersial biasa serta tidak memudarat kepentingan pemegang saham.

 

"Lembaga pengarah juga berpandangan pengambilalihan tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan dan mampu menyokong strategi pertumbuhan pada masa depan," katanya. - DagangNews.com