SHAH ALAM 19 Jun - Kerajaan Selangor bercadang memperluaskan program Selangor Advance (SA500) bagi membantu aliran tunai syarikat yang berurusan dengan projek infrastruktur negeri termasuk di peringkat daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata cadangan itu adalah di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa dua, susulan kekangan dihadapi syarikat dalam sektor logistik dan pembuatan berikutan peningkatan kos serta gangguan bekalan.
“Sejak dilaksanakan semasa pandemik COVID-19, sebanyak 1,398 syarikat telah memanfaatkan Selangor Advance yang membantu mempercepatkan pembayaran melalui invois sedia ada serta melancarkan urusan sesama syarikat.
"Dengan peruntukan RM100 juta, inisiatif ini dijangka dapat memanfaatkan 500 syarikat serta kontraktor yang berurusan di Selangor,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
SA500 yang diperkenalkan selepas COVID-19 itu berasaskan sistem pembiayaan patuh syariah berkonsepkan Tawarruq bagi membantu syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mengurus aliran tunai.
Menerusi inisiatif ini, kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan mendapatkan bayaran kerja dalam tempoh lebih singkat sekali gus membantu kelangsungan operasi perniagaan mereka.
Pembiayaan Tanpa Faedah
Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan pembiayaan tanpa faedah sehingga RM10,000 kepada usahawan kecil dan sederhana dengan kerjasama Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) dan Platform Selangor (PLATS).
Beliau berkata ia melibatkan tempoh bayaran semula sehingga tiga tahun menerusi aplikasi digital DANA PLUS oleh HIJRAH, yang bakal memanfaatkan 2,000 usahawan berdaftar.
“Bagi usahawan yang sedang terkesan bekalan global, kerajaan negeri turut mewujudkan pilihan untuk para usahawan menstrukturkan semula pinjaman melalui Yayasan HIJRAH.
“Seramai 6,000 usahawan yang sudah meminjam dengan HIJRAH boleh memohon untuk penstrukturan semula tanpa faedah tambahan ataupun caj penalti bagi menjamin kelangsungan perniagaan mereka pada waktu yang mencabar ini,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan agropreneur, Amirudin berkata seramai 2,469 penerima akan menerima bantuan termasuk baucar makanan ternakan, baja, baucar bahan api atau wang tunai RM300 sehingga RM600 mengikut musim atau secara bulanan.
Selain itu, pembiayaan sehingga RM10,000 seorang turut ditawarkan kepada 500 usahawan tani dengan kos faedah ditanggung kerajaan negeri.
Program Kerjaya Selangor
Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan melibatkan 30,000 pencari kerja dalam Program Kerjaya Selangor 2026 dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) syarikat peruncitan, pembuatan, dan logistik bagi memadankan dengan kemahiran dan keperluan industri.
Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa dua merangkumi 15 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM209.26 juta sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan global susulan situasi di Asia Barat.
Beliau berkata inisiatif yang digariskan itu bukan hanya melibatkan bantuan berbentuk tunai malah turut melibatkan langkah-langkah pemerkasaan ekonomi secara holistik agar hasil diperoleh negeri berkenaan dapat dimanfaatkan oleh rakyat. - BERNAMA








