George Kent ambil alih 76% kepentingan Techkem, perkasakan segmen infrastruktur air | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

George Kent ambil alih 76% kepentingan Techkem, perkasakan segmen infrastruktur air

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 JunGeorge Kent (Malaysia) Berhad mengumumkan langkah strategik untuk menguasai kira-kira 76% kepentingan ekuiti dalam Techkem Group Sdn Bhd pada harga sebanyak RM2 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, usaha tersebut sekali gus memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor infrastruktur air meskipun prestasi syarikat berkenaan adalah lemah.

 

Menurut kumpulan tersebut sendiri, Techkem dikenal pasti pernah mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) yang mencecah sebanyak RM3.12 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025.

 

"Bagaimanapun, kami tetap melihat potensi besar dalam kepakaran teknikal dan rangkaian perniagaan syarikat berkenaan sebagai pemacu pertumbuhan masa depan kumpulan," jelas kenyataan George Kent.

 

Kumpulan itu menandatangani perjanjian pembelian saham (SPA) dengan Datuk Ng Kam Meng dan Datin Wong Chang Hoa bagi pengambilalihan tersebut yang akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman.

 

Techkem merupakan pemain industri yang ada kepakaran dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), operasi dan penyelenggaraan (O&M), serta pengedaran banyak produk kimia khas.

 

George Kent_DagangNews2026

 

Syarikat itu terlibat dalam industri air dan air sisa melalui tiga anak syarikat, manakala usaha pengambilalihan ini sejajar dengan strategi George Kent untuk memperkasakan bahagian kejuruteraan.

 

"Melalui langkah ini, segala pengalaman dan rekod prestasi Techkem dimanfaatkan bagi meningkatkan penyertaan dalam sektor infrastruktur air, selain mewujudkan operasi lebih mantap," tambahnya.

 

Selepas pengambilalihan berkenaan dapat diselesaikan, syarikat tersebut akan menjadi subsidiari yang dimiliki 76% George Kent, sementara baki 24% lagi akan terus dipegang sendiri oleh Kam Meng.

 

Perjanjian itu juga merangkumi peruntukan yang membolehkan George Kent mengambil alih baki saham tersebut dalam tempoh enam bulan selepas tamat tempoh lima tahun dari tarikh penyelesaian.

 

Langkah korporat ini namun tidak tertakluk kepada sebarang kelulusan pemegang saham dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2026. - DagangNews.com