KUALA LUMPUR 4 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata SPRM telah mengkaji laporan audit itu dan sedang mendapatkan kerjasama UKM untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Siasatan memfokuskan kepada dua isu, iaitu program pengambilan pelajar yang dikesan tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah dan tuntutan palsu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Azam berkata tiada saksi dipanggil setakat ini dan SPRM akan mendapatkan dokumen penting daripada UKM bagi tujuan siasatan.
Artikel Berkaitan: Laporan Ketua Audit Negara dedah kepincangan kutipan yuran UKMShape
Artikel Berkaitan: PAC siasat isu tadbir urus UKM, Pelaburan Hartanah Bhd seperti dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara
Pada minggu lepas, SPRM mengesahkan akan memulakan siasatan awal berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan UKM yang dilaporkan dalam LKAN 1/2026.
Pada 23 Feb, LKAN 1/2026 mendedahkan UKM berdepan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan.
Menurut laporan itu, kutipan hasil dibuat oleh pihak tidak diberi kuasa iaitu Koperasi B-5-1788 bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta merangkumi Sarjana Pendidikan (SPEND) RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) RM47.21 juta.
Selain itu, hasil yuran pelajar sebanyak RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 termasuk RM0.87 juta
diterima oleh UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan eKewangan tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.
Laporan itu menyatakan agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 berjumlah RM21.02 juta, lewat diserahkan kepada pihak UKM antara 31 hari hingga 291 hari. - BERNAMA








