Kenanga: Pavilion REIT sasar peningkatan kadar sewaan selepas Pavilion KL diisi 37 penyewa baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga: Pavilion REIT sasar peningkatan kadar sewaan selepas Pavilion KL diisi 37 penyewa baharu

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 JulaiPavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) dijangka mencatat peningkatan ketara kadar sewaan di Pavilion Kuala Lumpur menjelang November 2026, kata Kenanga.

 

Langkah itu susulan ruang yang dikosongkan penyewa utama, Parkson, diisi 37 penyewa baharu, dan mengukuhkan prospek walaupun kadar penghunian pusat beli-belah itu menurun buat sementara waktu.

 

Ujarnya, strategi penyusunan semula ruang runcit seluas 6,317 meter persegi itu dijangka memberikan pulangan sewaan lebih tinggi berikutan penyewa utama sebelum ini menikmati kadar sewa yang rendah.

 

"Proses pengubahsuaian menyebabkan kadar penghunian Pavilion Kuala Lumpur akan susut kepada 91% berbanding 97% sebelum ini, namun memberi nilai besar jangka panjang," tambah Kenanga dalam nota.

 

Kemasukan 37 penyewa bukan sahaja berpotensi meningkatkan hasil, malah memperkukuh daya tarikan pusat beli-belah itu menerusi penawaran jenama dan konsep selari dengan kehendak pengguna semasa.

 

Firma itu berpandangan pembaharuan komposisi penyewa itu dijangka meningkatkan jumlah pengunjung ke Pavilion Kuala Lumpur, serta menyokong pertumbuhan jualan penyewa dan pendapatan Pavilion REIT.

 

Pavilion REIT_DagangNews2026

 

Selain prospek sewaan, Kenanga turut menaikkan unjuran hasil FY27 sebanyak 4% susulan jangkaan penjimatan kos elektrik selepas beralih kepada struktur tarif baharu Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

"Bagi separuh pertama FY26, keuntungan bersih berada dalam jangkaan apabila mencapai 47% daripada unjuran penuh tahun kewangan kami sendiri dan 49% daripada anggaran konsensus pasaran," jelasnya.

 

Pada masa sama, Pavilion REIT mengisytiharkan dividen kasar 5.17 sen seunit, dan meletakkannya di landasan untuk mencapai unjuran dividen penuh tahun kewangan 2026 mencecah sebanyak 11.3 sen.

 

Kata Kenanga, bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, ia mencatat keuntungan bersih RM89.03 juta berbanding RM78.66 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil naik 4% kepada RM221.01 juta.

 

Prestasi tersebut mencerminkan ketahanan kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) itu menguruskan aset runcit utamanya walaupun berdepan cabaran kerja-kerja penyusunan semula ruang komersial.

 

"Justeru, kami mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Pavilion REIT dengan harga sasaran (TP) RM1.95 sesaham kerana yakin strategi pengoptimuman ruang, dan peningkatan kadar sewaan," ujarnya.

 

Di samping itu tambah Kenanga, langkah penjimatan kos operasi elektrik ditetapkan TNB akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com