KUALA LUMPUR 27 Julai - Focus Point Holdings Bhd kekal berada pada landasan pertumbuhan mampan hasil daripada pengembangan perniagaan optik teras yang berdaya tahan serta peningkatan sumbangan daripada rangkaian bakeri Komugi, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Focus Point dengan harga sasaran tidak berubah pada 89 sen, didorong prospek pertumbuhan kukuh menerusi pengembangan segmen optik serta peningkatan sumbangan perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Harga sasaran itu mencerminkan potensi kenaikan sekitar 74% berbanding harga semasa saham sebanyak 51 sen.
"Focus Point menyasarkan pembukaan 20 cawangan baharu tahun ini, dengan kira-kira 40% daripadanya telah siap, sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk meningkatkan jumlah rangkaian kepada 300 cawangan menjelang 2030 berbanding sekitar 210 cawangan ketika ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut HLIB, strategi pengembangan syarikat kini semakin memberi tumpuan kepada lokasi berhadapan jalan yang menawarkan kos sewaan lebih rendah, iaitu sekitar 10% daripada jualan, berbanding 15% hingga 20% bagi cawangan yang beroperasi dalam pusat beli-belah.
Peralihan lokasi itu dijangka membantu meningkatkan margin keuntungan selain memperkukuh daya saing Focus Point berbanding peruncit optik tradisional.
Segmen F&B
Selain pertumbuhan rangkaian kedai, HLIB mengenal pasti beberapa pemacu utama yang mampu menyokong prestasi kumpulan, termasuk pengembangan segmen F&B B2B, pertumbuhan jualan optik korporat serta aktiviti pemasaran bersama pembekal.
Dalam segmen F&B, Focus Point telah memulakan bekalan produk pastri kepada sebuah rangkaian kopi dari China yang beroperasi di Malaysia.
Perbincangan bagi memperluaskan kerjasama itu ke operasi rangkaian tersebut di Singapura kini berada pada peringkat akhir, dengan pesanan awal dijangka bermula dalam tempoh terdekat.
Kumpulan itu juga sedang membangunkan kerjasama bekalan dengan sebuah rangkaian kedai serbaneka utama di Malaysia, yang dijangka dapat mempelbagaikan asas pelanggan serta mengurangkan risiko kebergantungan kepada pelanggan tertentu dalam segmen F&B.
Dalam segmen optik, Focus Point dijangka menerima manfaat daripada pelancaran Ray-Ban Meta smart glasses pada Oktober, yang bakal memperluaskan penawaran produk premium syarikat serta menarik segmen pelanggan bernilai lebih tinggi.
Unjuran Keuntungan
Dari segi kewangan, HLIB mengunjurkan keuntungan bersih Focus Point meningkat daripada RM35 juta pada FY25 kepada RM39 juta pada FY26 dan seterusnya RM42.2 juta pada FY27, disokong pertumbuhan hasil yang stabil serta peningkatan margin.
Pendapatan sesaham (EPS) pula dijangka meningkat daripada 5.7 sen pada FY25 kepada 6.3 sen pada FY26 dan 6.9 sen pada FY27.
Saham Focus Point juga dijangka menawarkan hasil dividen sekitar 6.2% bagi FY26, sekali gus memberikan daya tarikan tambahan kepada pelabur yang mencari pulangan pendapatan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan harga sasaran 89 sen berdasarkan penilaian 14 kali ganda pendapatan FY26. - DagangNews.com








