Mahkamah Tinggi tolak saman RM40.67 juta anak syarikat Mah Sing terhadap jurutera, kontraktor dan Lonpac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi tolak saman RM40.67 juta anak syarikat Mah Sing terhadap jurutera, kontraktor dan Lonpac

KUALA LUMPUR 27 Julai - Mahkamah Tinggi menolak saman berjumlah RM40.67 juta yang difailkan Elite Park Development Sdn Bhd, anak syarikat Mah Sing Group Bhd, terhadap jurutera struktur, kontraktor utama dan syarikat insurans berhubung kecacatan pada sebuah bangunan kediaman 10 tingkat serta tempat letak kereta bertingkat di projek M Residence 2 di Bandar Kundang, Rawang.

 

Hakim Azlan Sulaiman memutuskan Elite Park gagal membuktikan keretakan yang berlaku berpunca daripada kecuaian dalam reka bentuk struktur atau kecacatan kerja pembinaan, selain gagal menunjukkan bahawa tindakan merobohkan bangunan terbabit adalah lebih munasabah berbanding melaksanakan kerja pembaikan.

 

Dalam alasan penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada Jumaat, mahkamah turut memutuskan tuntutan kerugian syarikat itu tidak dilindungi di bawah polisi insurans pembinaan yang dikeluarkan Lonpac Insurance Bhd.

 

Elite Park sebelum ini memfailkan saman terhadap jurutera struktur Zulhkiple Abu Bakar dan kontraktor utama Pembinaan Infrastruktur OKH Sdn Bhd, dengan menuntut ganti rugi melebihi RM40 juta, selain mengemukakan tuntutan berasingan terhadap Lonpac.

 

Menurut laporan FMT, pertikaian itu timbul selepas keretakan ditemui pada rasuk pemindah (transfer beam) sebuah blok pangsapuri 10 tingkat dan bangunan tempat letak kereta bertingkat di projek M Residence 2.

 

Menurut mahkamah, pemaju telah merobohkan keseluruhan bangunan tempat letak kereta dan antara 85% hingga 90% daripada blok kediaman berkenaan sebelum memfailkan saman bagi mendapatkan semula kos perobohan serta pembinaan semula.

 

Dakwaan Punca Kecacatan 

Elite Park mendakwa kecacatan itu berpunca daripada reka bentuk struktur yang cuai dan penggunaan bahan binaan yang tidak memenuhi spesifikasi oleh kontraktor, selain mendakwa Lonpac menolak tuntutan insuransnya secara tidak wajar.

 

Bagaimanapun, mahkamah mendapati plaintif gagal mengemukakan bukti mencukupi bahawa kecacatan yang berlaku memerlukan bangunan itu dirobohkan.

 

Hakim turut menyatakan bahawa satu-satunya laporan pakar yang dimiliki pemaju ketika keputusan perobohan dibuat sebenarnya mengesyorkan supaya kerja pembaikan dilaksanakan dan bukannya perobohan.

 

Mahkamah juga mengambil kira kegagalan Elite Park memanggil ketua pegawai eksekutif atau mana-mana ahli lembaga pengarah untuk menjelaskan asas keputusan merobohkan aset bernilai lebih RM30 juta itu.

 

Bagi tuntutan terhadap kontraktor utama pula, mahkamah mendapati struktur terbabit telah dirobohkan sebelum pemeriksaan pakar dijalankan, menyebabkan siasatan hanya dapat dibuat ke atas sisa runtuhan yang tidak mencukupi untuk membuktikan penggunaan bahan binaan yang tidak memenuhi piawaian.

 

Sebaliknya, Pembinaan Infrastruktur OKH mengemukakan bukti ujian kiub konkrit yang dijalankan sebelum, semasa dan selepas pembinaan bagi menyokong kualiti kerja yang dilaksanakan.

 

Mahkamah turut memutuskan tuntutan terhadap Lonpac tidak memenuhi syarat perlindungan polisi kerana kerugian yang didakwa bukan berpunca daripada kejadian yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka.

 

Tuntutan Ditolak

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi menolak semua tuntutan Elite Park dan mengarahkan syarikat itu membayar kos litigasi keseluruhan sebanyak RM1.65 juta, masing-masing RM650,000 kepada Zulhkiple serta RM500,000 kepada Pembinaan Infrastruktur OKH dan Lonpac.

 

Selain itu, mahkamah turut membenarkan tuntutan balas Zulhkiple berjumlah RM114,088.23 bagi yuran profesional yang masih tertunggak, berserta faedah sebanyak 5% setahun bermula 23 Mei 2019 sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

 

Elite Park diwakili peguam Wong Li-Wei dan Sheikh Omar Taha; Zulhkiple diwakili A Sandosh dan Yashodhan Reddy Pannirselvam; Pembinaan Infrastruktur OKH diwakili Edwin Lim dan Cheryl Patricia Fredericks; manakala Lonpac diwakili Steven Wong. - DagangNews.com