KUALA LUMPUR 27 Julai – Lagenda Properties Berhad menerbitkan program Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Wakalah) bernilai sehingga RM1.5 bilion bagi mengukuhkan kapasiti pembiayaannya serta menyokong peluasan berterusan pembangunan perumahan mampu milik di seluruh Malaysia.
Anak syarikat milik penuhnya, Lagenda Capital Berhad telah mengemukakan program berkenaan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 24 Julai 2026 di bawah Rangka Kerja Lodge and Launch (LOLA) pengawal selia itu, kata Lagenda dalam pemakluman di Bursa Malaysia.
Program Sukuk Wakalah dengan nilai nominal sehingga RM1.5 bilion itu membolehkan kumpulan menerbitkan nota jangka sederhana Islam dari semasa ke semasa, sekali gus menyediakan fleksibiliti kewangan yang lebih besar untuk membiayai inisiatif pertumbuhan.
Lagenda Properties akan bertindak sebagai penjamin kepada program itu menerusi jaminan korporat yang tidak boleh ditarik balik dan tanpa syarat.
Program berkenaan mempunyai tempoh sah laku berterusan, manakala setiap terbitan sukuk akan mempunyai tempoh matang minimum selama setahun.
Terbitan pertama dijangka dilaksanakan dalam tempoh 90 hari bekerja dari tarikh pengemukaan kepada SC, tertakluk kepada pematuhan semua keperluan kawal selia.
Dana untuk pengembangan perniagaan
Sukuk berkenaan tidak akan disenaraikan di Bursa Malaysia atau mana-mana bursa saham lain.
Menurut Lagenda, hasil daripada program sukuk itu akan disalurkan terutamanya kepada perniagaan perumahan mampu miliknya menerusi pembiayaan antara syarikat dalam kumpulan yang mematuhi prinsip Syariah.
Selain itu, dana berkenaan akan digunakan bagi memenuhi keperluan modal kerja, tujuan korporat am serta pembiayaan semula pinjaman konvensional dan kemudahan pembiayaan patuh Syariah sedia ada atau yang akan diperoleh pada masa hadapan.
Sebahagian daripada hasil terbitan itu juga boleh digunakan bagi menampung kos penubuhan dan pengurusan program sukuk, termasuk penyediaan akaun rizab yang diperlukan, selain penebusan sukuk yang telah diterbitkan sebelum ini di bawah program yang sama. - DagangNews.com








