Infoline Tec sasar projek pusat data lebih besar menerusi pengembangan perniagaan M&E | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Infoline Tec sasar projek pusat data lebih besar menerusi pengembangan perniagaan M&E

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Julai – Infoline Tec Group Berhad memohon kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan perniagaannya ke dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) bagi membolehkan penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) itu memburu kontrak berskala lebih besar dalam sektor pusat data, pembangunan hartanah dan infrastruktur. 

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE itu berkata,  cadangan mempelbagaikan perniagaan itu akan dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 Ogos ini. 

 

Langkah itu diambil selepas kumpulan menjangkakan segmen M&E mampu menyumbang sekurang-kurangnya 25% kepada keuntungan bersih dan/atau aset bersihnya pada masa hadapan, sekali gus memerlukan kelulusan pemegang saham di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia. 

 

Pengembangan itu dibina berasaskan pengalaman kumpulan melaksanakan projek infrastruktur IT yang sebelum ini melibatkan kerja-kerja elektrikal dan M&E melalui subkontraktor.

 

Infoline Tec berkata, syarikat kini telah memiliki pengalaman operasi, kepakaran teknikal serta lesen kawal selia yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan secara dalaman. 

 

Anak syarikat milik penuhnya, Infoline Solutions Sdn. Bhd. memiliki sijil pendaftaran Gred 7 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), yang membolehkannya membida kontrak pembinaan tanpa had nilai, selain lesen Kontraktor Elektrik Kelas A daripada Suruhanjaya Tenaga bagi melaksanakan kerja-kerja elektrikal melebihi RM1 juta. 

 

Menurut syarikat itu, keupayaan menggabungkan rumusan ICT dan M&E akan meningkatkan daya saingnya menerusi penyediaan penyelesaian kejuruteraan bersepadu untuk bangunan komersial, kemudahan industri, bangunan pintar dan pusat data.

 

Sasar kontrak pusat data dan projek bernilai tinggi

Projek M&E terbesar yang sedang dilaksanakan Infoline Tec ialah kontrak kerja-kerja elektrikal bernilai RM9.65 juta bagi pembangunan pangsapuri perkhidmatan 30 tingkat di Terengganu, yang dianugerahkan pada Januari lalu dan dijadualkan siap pada Januari 2028. 

 

Secara keseluruhannya, kumpulan itu telah melaksanakan projek M&E bernilai RM16.67 juta dalam tempoh tiga tahun lalu dan kini mempunyai buku tender M&E berjumlah RM22 juta. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, perniagaan M&E menjana hasil sebanyak RM2.03 juta, bersamaan 2.3% daripada hasil kumpulan, selain merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM137,000. 

 

Pengembangan itu akan diterajui Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Pemasaran, Too Yit Meng yang disokong oleh pasukan khusus terdiri daripada lima jurutera berpengalaman dalam perancangan projek, reka bentuk kejuruteraan, pemasangan, ujian dan pentauliahan.

 

Lembaga Pengarah berkata, kumpulan juga bercadang menambah tenaga kerja berpengalaman selaras dengan peningkatan keperluan projek. 

 

Melangkah ke hadapan, Infoline Tec menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan M&E akan terus disokong oleh pelaburan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, semikonduktor, tenaga boleh baharu, bangunan pintar dan pusat data. - DagangNews.com