KUALA LUMPUR 27 Julai - Alpha IVF Group Berhad dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 21.9% bagi tahun kewangan 2027 (FY27), disokong sumbangan daripada pusat rawatan baharu, pemulihan operasi di Singapura serta pertumbuhan berterusan pesakit antarabangsa.
TA Research berkata kumpulan itu berada pada kedudukan kukuh untuk meningkatkan prestasi kewangan apabila fasa pengembangan agresifnya mula membuahkan hasil.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi FY26, Alpha IVF merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah sebanyak RM198.6 juta, meningkat 12.3% berbanding tahun sebelumnya, didorong pertumbuhan kukuh di pusat Alpha KL dan Alhaya.
"Malaysia terus menjadi pasaran terbesar kumpulan dengan menyumbang kira-kira 90% daripada jumlah hasil, manakala hasil daripada pesakit tempatan meningkat 24.6% kepada RM58.6 juta dan pesakit antarabangsa bertambah 9.1% kepada RM120.1 juta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, keuntungan bersih FY26 susut 6.6% kepada RM53.6 juta berikutan perbelanjaan praoperasi sekitar RM5 juta yang ditanggung bagi menyokong pembukaan pusat rawatan baharu.
Pada Disember 2025, Alpha IVF membuka dua pusat IVF penuh di Sabah dan Manila, sekali gus meningkatkan jumlah pusat rawatan penuhnya kepada enam, selain meneruskan persediaan untuk empat lagi pusat yang dijadual memulakan operasi secara berperingkat.

Firma penyelidikan itu menjangkakan margin EBITDA kumpulan kekal tertekan sekitar 41% dalam jangka pendek berbanding purata sejarah sekitar 46%, susulan kos praoperasi yang berkaitan dengan pengembangan rangkaian.
Namun, margin dijangka kembali pulih mulai suku kedua FY27 apabila pusat baharu di Johor, Tuguegarao dan Jakarta mula beroperasi menjelang akhir tahun ini, manakala pusat di Bali dijangka memulakan operasi pada pertengahan 2027.
Menurut pihak pengurusan, setiap pusat baharu disasarkan mencapai keuntungan dalam tempoh kira-kira lima bulan selepas memulakan operasi.
Pesakit Asing Terus Meningkat
Dalam pada itu, pertumbuhan pesakit asing dijangka terus menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan.
Hasil daripada pesakit Indonesia diunjurkan kembali berkembang sebanyak 6.8% pada FY27 selepas menyusut 2.4% pada FY26, apabila pelanggan semakin menyesuaikan diri dengan perubahan harga susulan penyusutan nilai rupiah dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pada masa sama, hasil daripada pesakit China meningkat 21.8% kepada RM41.8 juta pada FY26 dan dijangka terus berkembang, disokong usaha pemasaran yang dipertingkat di beberapa pasaran utama termasuk Kemboja dan Bangladesh.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Alpha IVF dengan harga sasaran RM0.33, berdasarkan gandaan 22 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kalendar 2027.
Saham itu juga dijangka menawarkan hasil dividen sekitar 4.7% bagi tahun kalendar 2027, sekali gus memberikan daya tarikan tambahan kepada pelabur yang mencari pulangan pendapatan di samping potensi pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com








