BHIC tetapkan 6 Ogos hari dagangan terakhir saham menjelang penswastaan bernilai RM149.6 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BHIC tetapkan 6 Ogos hari dagangan terakhir saham menjelang penswastaan bernilai RM149.6 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Julai – Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) menetapkan 6 Ogos 2026 sebagai hari dagangan terakhir sahamnya di Bursa Malaysia sebelum dagangan digantung bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pengurangan modal dan pembayaran balik modal menurut Seksyen 116 Akta Syarikat 2016 yang akan membawa kepada penswastaan syarikat itu. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, BHIC berkata, dagangan saham syarikat akan digantung mulai pukul 9 pagi pada 7 Ogos 2026, manakala tarikh kelayakan bagi pemegang saham yang layak, pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Tukar (RCPS) Kelas A dan RCPS-i Kelas A untuk menerima pembayaran balik tunai ditetapkan pada 10 Ogos 2026. 

 

Di bawah pelaksanaan itu, semua saham BHIC yang tidak dimiliki Boustead Holdings Bhd (BHB) akan menerima pembayaran balik modal sebanyak 48 sen sesaham, manakala kadar yang sama turut dibayar kepada pemegang RCPS Kelas A dan RCPS-i Kelas A. 

 

Pelaksanaan pengurangan modal itu akan menyebabkan semua saham biasa serta RCPS Kelas A dan RCPS-i Kelas A yang layak dibatalkan, sekali gus menjadikan BHB sebagai pemegang saham tunggal BHIC selepas urus niaga selesai. 

 

BHIC berkata, pemegang yang layak secara kolektif memiliki 155.86 juta saham biasa, 23.63 juta RCPS Kelas A dan 132.17 juta RCPS-i Kelas A, dengan jumlah pembayaran balik modal keseluruhan sebanyak RM149.59 juta. 

 

BHB yang kini memiliki 72.38% kepentingan langsung dalam BHIC, bersama pihak yang bertindak secara bersama (PAC) diketuai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), menguasai kira-kira 74.71% saham biasa syarikat itu. Tawaran tersebut tidak melibatkan saham biasa dan RCPS Kelas B yang telah dimiliki BHB. 

 

BHIC bakal dinyahsenarai

Selepas pelaksanaan pengurangan modal selesai, BHB akan kekal memiliki 408.42 juta saham biasa serta 84.66 juta RCPS Kelas B yang tidak dibatalkan, sekali gus menjadikan BHIC sebagai anak syarikat milik penuhnya.

 

BHB sebelum ini memaklumkan bahawa ia tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian BHIC dan akan memohon kepada Bursa Malaysia untuk menyahsenaraikan syarikat itu daripada Pasaran Utama selepas proses penswastaan selesai. 

 

Cadangan penswastaan itu mula diumumkan pada Februari lalu sebelum mendapat kelulusan pemegang saham bukan berkepentingan serta pemegang RCPS pada April.

 

Mahkamah Tinggi kemudiannya memberikan perintah pengesahan pada 1 Julai 2026, sekali gus melengkapkan keperluan perundangan bagi pelaksanaan pengurangan modal tersebut. 

 

BHIC berkata, pembayaran balik modal sebanyak 48 sen sesaham dijangka dibuat pada 20 Ogos 2026 menerusi pindahan elektronik atau kaedah pembayaran lain yang ditetapkan, iaitu dalam tempoh 10 hari selepas tarikh kuat kuasa pengurangan modal. - DagangNews.com