Hap Seng Plantations manfaatkan kenaikan harga minyak sawit imbangi penyusutan pengeluaran - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hap Seng Plantations manfaatkan kenaikan harga minyak sawit imbangi penyusutan pengeluaran - CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 JulaiHap Seng Plantations Holdings Berhad dalam kedudukan terbaik memanfaatkan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) jika fenomena El Nino yang kuat berlaku hujung tahun ini.

 

Menurut CGS International (CGSI), peningkatan harga komoditi tersebut berpotensi mengimbangi kesan penyusutan pengeluaran, dan menjadikan saham itu antara pilihan menarik dalam sektor perladangan.

 

Ujarnya, syarikat berkenaan kini merupakan saham perladangan paling murah di bawah liputannya dengan penilaian kurang 10 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan 2026 dan 2027.

 

"Kami melihat Hap Seng Plantations mampu menawarkan dividen sekitar 6%, dan berdasarkan situasi semasa itu, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM3.35 sesaham," katanya.

 

Prospek pendapatan syarikat pada FY26 akan disokong oleh pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang kukuh dalam kalangan syarikat perladangan selain harga MSM lebih tinggi berbanding FY25.

 

Jelasnya, walaupun El Nino berpotensi menjejaskan pengeluaran FFB pada 2027, kenaikan purata harga jualan (ASP) MSM dijangka mengimbangi kehilangan pengeluaran itu serta menyokong keuntungan.

 

Hap Seng Plantations_DagangNews2026

 

Tambahnya, pengurusan Hap Seng Plantations mengekalkan sasaran pengeluaran FFB sebanyak 714,000 pada FY26, iaitu pertumbuhan tahunan 17%, tertinggi dalam kalangan syarikat perladangan huluan.

 

"Namun kami mengekalkan unjuran konservatif dengan menjangka pertumbuhan pengeluaran FFB sekitar 13%, walaupun pengeluaran pada 1H26 naik 7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," ujar CGSI.

 

Semua ladang kumpulan itu terletak di Sabah yang merupakan negeri pengeluar minyak sawit terbesar negara, selain secara konsisten mencatatkan hasil FFB lebih tinggi berbanding purata negeri berkenaan.

 

Dari sudut kos operasi, Hap Seng Plantations dijangka mengekalkan kelebihan selepas memperoleh bekalan baja yang berharga rendah lebih awal, berbanding peningkatan 25% dialami oleh syarikat lain.

 

CGSI berkata, syarikat juga berpotensi mendapat akses bekalan baja menerusi syarikat induknya, Hap Seng Consolidated yang menjalankan perniagaan perdagangan baja, serta mengawal kos pengeluaran.

 

"Syarikat ini masih menerima cukup taburan hujan dan kapasiti simpanan air di empangan ditingkatkan sebagai persediaan menghadapi cuaca kering akibat fenomena El Nino pada hujung tahun," jelasnya.

 

Berdasarkan analisis, jika pengeluaran FFB Hap Seng Plantations susut 7% pada FY27, peningkatan 6% dalam ASP MSM sudah memadai mengimbangi kesan tersebut terhadap pendapatan. - DagangNews.com