MD Northeast berdepan 2 saman berkaitan dakwaan penindasan pemegang saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MD Northeast berdepan 2 saman berkaitan dakwaan penindasan pemegang saham

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Julai – Pengarah Urusan Northeast Group Berhad, Ng Chay Chin berdepan dua tindakan undang-undang oleh dua pemegang saham Mountain Range Sdn. Bhd. yang mendakwa beliau telah mengendalikan hal ehwal Mountain Range dan Northeast secara menindas.

 

Dalam kedua-dua saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Georgetown, Northeast turut dinamakan sebagai defendan ketiga. Bagaimanapun, syarikat itu berkata, ia hanya dinamakan sebagai pihak nominal dan tiada sebarang relif dipohon terhadapnya.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Chong Ewe Hean dan Ng Meng Hang masing-masing memfailkan saman pemula terhadap Ng, Mountain Range dan Northeast, yang disampaikan kepada Northeast pada 17 Julai 2026.

 

Kedua-dua tindakan itu difailkan di bawah Seksyen 346 dan Seksyen 223 Akta Syarikat 2016 berhubung dakwaan penindasan pemegang saham minoriti.

 

Plaintif merupakan pemegang saham Mountain Range, iaitu pemegang saham utama Northeast dengan pegangan kira-kira 53.69% kepentingan ekuiti dalam syarikat itu. Northeast berkata, secara asasnya kedua-dua saman itu melibatkan pertikaian dalam kalangan pemegang saham syarikat.


 

Northeast Group Berhad, Ng Chay Chin
Ng Chay Chin

 

Antara relif yang dipohon oleh plaintif ialah perisytiharan bahawa:

i. Ng telah mengendalikan hal ehwal Mountain Range dan Northeast secara menindas

ii. perintah supaya beliau membeli semua saham milik plaintif dalam Mountain Range pada nilai saksama yang akan ditentukan oleh penilai bebas

iii. perintah supaya Ng dan Mountain Range memberikan akses penuh kepada buku, rekod, akaun serta dokumen lain yang diperlukan bagi tujuan penilaian,

iv. selain kos prosiding terhadap Ng dan Mountain Range.

 

Northeast berkata, Lembaga Pengarah telah mendapatkan nasihat undang-undang dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi kepentingan syarikat, sambil mengekalkan pendirian berkecuali dalam pertikaian antara pemegang saham berkenaan.

 

Tiada Tuntutan Wang

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa selain Ng yang merupakan Pengarah Urusan Northeast dan Mountain Range sebagai pemegang saham utamanya, tiada pengarah atau pemegang saham utama lain mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam prosiding tersebut.

 

Northeast berkata, kedua-dua saman itu tidak melibatkan sebarang tuntutan wang terhadap syarikat dan, berdasarkan penilaian semasa Lembaga Pengarah serta nasihat undang-undang yang diterima, prosiding berkenaan dijangka tidak memberi kesan material terhadap operasi atau kedudukan kewangan kumpulan.

 

Selain kos guaman yang akan ditanggung berhubung prosiding itu, syarikat tidak menjangkakan sebarang liabiliti lain yang, sekiranya boleh dikuatkuasakan, akan memberi kesan material dan buruk terhadap kedudukan kewangan kumpulan pada ketika ini.

 

Northeast berkata, pengumuman lanjut akan dibuat kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan prosiding tersebut. - DagangNews.com