OGX Networks dilantik pengedar sah infrastruktur rangkaian Nokia di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OGX Networks dilantik pengedar sah infrastruktur rangkaian Nokia di Malaysia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Julai - OGX Group Bhd mengukuhkan kedudukannya dalam segmen infrastruktur teknologi apabila anak syarikat milik penuhnya, OGX Networks Sdn Bhd, dilantik sebagai pengedar sah produk dan perkhidmatan infrastruktur rangkaian Nokia di Malaysia.

 

Pelantikan itu dimeterai menerusi perjanjian pengedaran selama tiga tahun antara OGX Networks dan Nokia Services and Networks Malaysia Sdn Bhd, yang turut menyediakan pilihan pembaharuan secara automatik selepas tempoh perjanjian tamat.

 

Menerusi kerjasama strategik itu, OGX Networks diberi hak untuk memasarkan dan mengedarkan rumusan rangkaian Nokia kepada pelanggan penyepadu sistem (SI) di seluruh negara.

 

Pelantikan tersebut menjadikan Nokia sebagai prinsipal teknologi ke-19 dalam ekosistem OGX, sekali gus memperkukuh portfolio kumpulan dalam penyelesaian infrastruktur rangkaian perusahaan.

 

OGX berkata, kerjasama itu dijangka meningkatkan keupayaannya menyokong rakan penyepadu sistem bagi memenuhi permintaan yang semakin berkembang terhadap penyelesaian rangkaian perusahaan, sektor awam dan pusat data.

 

Pada masa sama, kerjasama berkenaan turut membuka peluang kepada kumpulan untuk memperluaskan aktiviti jualan silang, mengintegrasikan penyelesaian teknologi serta memperkukuh rangkaian saluran pengedarannya.

 

Nokia merupakan penyedia teknologi infrastruktur rangkaian bertaraf global dengan penawaran merangkumi penyelesaian IP, optik, rangkaian tetap, pusat data dan sambungan kritikal misi.

 

Syarikat itu juga terus memperkukuh keupayaan rangkaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi integrasi teknologi AI dalam fabrik pusat data, rangkaian optik dan infrastruktur telekomunikasi bagi menyokong keperluan rangkaian generasi baharu.

 

Menurut OGX, penyertaan Nokia dalam ekosistem teknologinya akan mempertingkat keupayaan kumpulan menawarkan penyelesaian rangkaian perusahaan berprestasi tinggi, infrastruktur sambungan yang berdaya tahan, kesalinghubungan pusat data, rangkaian sedia AI serta perkhidmatan pemodenan rangkaian kepada pelanggan di Malaysia.

 

Langkah itu dilihat selari dengan strategi OGX untuk memperluaskan penawaran teknologi bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran infrastruktur digital yang didorong oleh pertumbuhan pusat data, transformasi digital perusahaan dan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan yang semakin meluas. - DagangNews.com