BIMB Securities: Permintaan pesat teknologi kecerdasan buatan tingkatkan 20% harga saham VSTEC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BIMB Securities: Permintaan pesat teknologi kecerdasan buatan tingkatkan 20% harga saham VSTEC

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 27 Julai – Permintaan pesat terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data (DC) dijangka menjadi pemangkin baharu kepada harga saham VSTECS Berhad.

 

Menurut BIMB Securities, perkembangan positif itu meletakkan syarikat tersebut pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada gelombang transformasi digital negara sehingga penghujung 2026.

 

Kumpulan itu ujarnya, berada dalam situasi terbaik memanfaatkan peningkatan penggunaan AI yang menjana permintaan infrastruktur awan, perkhidmatan terurus, keselamatan siber dan pengurusan data.

 

"Semua segmen ini menawarkan margin keuntungan yang lebih tinggi kepada VSTECS sendiri berbanding aktiviti perniagaan pengedaran perkakasan teknologi secara tradisional," jelas nota firma berkenaan.

 

Justeru, BIMB Securities memulakan liputan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.14 sesaham, membayangkan potensi kenaikan sekitar 20.2% berbanding harga semasa hanya RM1.77 sesaham.

 

Penilaian tersebut ujarnya, dibuat berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 17.2 kali bagi unjuran tahun kewangan 2027, dengan pendapatan sesaham dijangka boleh mencecah 12.6 sen.

 

VSTECS_DagangNews2026

 

Katanya, sebagai antara pengedar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terbesar di Malaysia, VSTECS dijangka mendapat manfaat apabila lebih banyak DC mula beroperasi menjelang akhir 2026.

 

"Keadaan ini meningkatkan permintaan terhadap rumusan digital bernilai tinggi, dengan peralihan strategi kepada rumusan awan turut membantu meningkatkan keuntungan," ujar BIMB Securities lagi.

 

Situasi itu terbukti apabila margin keuntungan sebelum cukai (PBT) bertambah kepada 3.6% pada FY25 berbanding 2.8% pada FY21, serta pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang meningkat ketara kepada 18.7%.

 

VSTECS jelasnya, wajar diberikan penilaian premium berikutan keterlihatan pendapatan yang kukuh, kedudukan tunai bersih sihat serta ROE lebih tinggi berbanding syarikat setara dalam industri.

 

BIMB Securities turut mengenal pasti segmen perusahaan sebagai pemacu utama pertumbuhan pendapatan kerana projek transformasi digital yang berulang mampu menyediakan aliran hasil yang lebih stabil.

 

"Walaupun persaingan industri pengedaran ICT kekal sengit dengan perubahan teknologi, tumpuan syarikat berkenaan terhadap rumusan digital bernilai tinggi akan memperkukuh margin keuntungan," katanya.

 

Sehubungan itu, ia yakin prospek jangka panjang VSTECS disokong pertumbuhan ekosistem AI, sekali gus menjadikan saham syarikat ini antara pilihan menarik dalam sektor teknologi. - DagangNews.com