KUALA LUMPUR 25 Feb – Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) bakal dilaksanakan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selewat-lewatnya akhir suku pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sejak pelaksanaan VAMS di Terminal 1 KLIA pada 1 Disember 2025, sistem tersebut berjaya menunjukkan penambahbaikan secara ketara.
Jelas beliau, situasi positif tersebut dapat dilihat khususnya dalam usaha mengurangkan kes pelanggaran had masa berhenti di laluan hadapan terminal berkenaan, sekali gus melancarkan aliran trafik.
Katanya, statistik menunjukkan purata masa kenderaan menunggu di aras pelepasan jatuh daripada 2.99 minit kepada 2.75 minit, manakala di aras ketibaan daripada 8.91 minit kepada 2.65 minit.
"Kadar pelanggaran tempoh had masa berhenti turut didapati menurun daripada kira-kira 11.7% kepada hanya 0.5% di aras pelepasan dan daripada 18.8% kepada 1.4% di aras ketibaan," tambah Hasbi.
Beliau menjawab soalan daripada Senator Robert Lau Hui Yew pada persidangan Dewan Negara hari ini mengenai langkah Kementerian Pengangkutan menangani kesesakan trafik di kedua-dua terminal itu.
Menjelaskan lanjut katanya, VAMS di Terminal 1 KLIA menetapkan had maksimum selama 10 minit bagi kenderaan di lorong luar untuk menurunkan atau mengambil penumpang sebelum bergerak keluar.
Kadar penalti jelas Hasbi, bermula daripada RM10 hingga RM40 bergantung kepada tempoh pelanggaran masa, manakala kenderaan yang melebihi 30 minit dikenakan penalti terkumpul sebanyak RM100.
"Jika kenderaan tersebut didapati masih lagi enggan beredar atau sengaja ditinggalkan, ia akan ditunda dengan caj RM200 serta bayaran simpanan kira-kira RM30 setiap hari," tegas beliau.
Pada masa ini, penguatkuasaan kawalan trafik di Terminal 2 dilaksanakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia berdasarkan Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tambah Hasbi, melaksanakan tindakan penguncian tayar kenderaan sebagai langkah tambahan dalam usaha mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan.
Isu kesesakan di laluan utama Terminal 1 dan Terminal 2 dikenal pasti sebagai cabaran utama sejak pembukaan kedua-dua terminal itu berikutan kenderaan ditinggalkan terlalu lama. - DagangNews.com








