Segmen solar lemah tekan potensi BM GreenTech bagi 9MFY26, penganalisis semak unjuran hasil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen solar lemah tekan potensi BM GreenTech bagi 9MFY26, penganalisis semak unjuran hasil

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb – Kelembapan berterusan segmen solar susulan berakhirnya skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 menekan potensi BM GreenTech Berhad bagi tempoh sembilan bulan FY26.


Penganalisis berpandangan, situasi  sekali gus menyebabkan unjuran pendapatan disemak semula, namun mereka mengekalkan saranan ‘beli’, kerana berpandangan kelemahan semasa adalah sementara.


Antaranya Maybank Investment Bank yang menyifatkan prospek pemulihan kumpulan tersebut disokong teguh pelaksanaan inisiatif kerajaan menerusi Solar ATAP dan peningkatan projek berskala utiliti.


"Bagaimanapun, kami menilai keuntungan bersih teras 9MFY26 berjumlah RM36.5 juta adalah di bawah jangkaan, hanya merangkumi 66% daripada unjuran asal," kata firma itu dalam nota kajian hari ini.


Prestasi hambar tersebut berpunca daripada penyusutan mendadak sumbangan segmen solar iaitu -87% tahun ke tahun (YoY), akibat jurang dasar selepas tamat NEM 3.0 serta jumlah projek yang rendah.


Kos BM GreenTech jelas Maybank IB, meningkat susulan pengambilalihan Plus Xnergy, tetapi kelemahan itu diimbangi pertumbuhan kukuh segmen rawatan air (+47% YoY), dan segmen bio-tenaga kekal stabil.


Secara suku ke suku (QoQ), keuntungan teras pada 3QFY26 melonjak 42% kepada RM12.6 juta, disokong hasil yang lebih tinggi RM149.9 juta (+14% QoQ) serta dipacu segmen bio-tenaga dan rawatan air.


"Margin keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan ini turut bertambah baik 1.2 mata peratusan hasil penghantaran projek bio-tenaga luar negara dengan margin lebih tinggi," kata firma berkenaan.


Maybank IB menjangkakan pemulihan segmen solar pada 4QFY26, disokong peningkatan pendedahan kepada rumusan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi segmen komersial dan perindustrian (C&I).


Firma itu namun menyemak turun unjuran FY26 hingga FY28 sebanyak 8% dan menurunkan harga sasaran (TP) berasaskan jumlah bahagian (SOTP) kepada RM2.18 daripada RM2.24, sambil mengekalkan saranan.


Sementara itu, RHB Research pula mengekalkan TP iaitu RM2.14 sesaham, membayangkan potensi kenaikan sekitar 50% serta hasil dividen BM GreenTech mampu mencecah kira-kira 2% bagi FY27.


"Keuntungan teras 9MFY26 disifatkan selari jangkaan kami, walaupun di bawah anggaran pasaran, dengan hasil naik 6.6% YoY kepada RM409 juta, didorong penyatuan penuh Plus Xnergy," katanya.


Ia turut yakin dengan kemajuan projek di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), serta menjangka pemulihan berperingkat segmen solar susulan pelaksanaan Solar ATAP mulai Januari 2026.


Selain itu kata RHB Research, Plus Xnergy dijangka meningkatkan kapasiti berperingkat, manakala tumpuan kepada rumusan BESS membantu pelanggan mengoptimumkan kos di bawah struktur tarif baharu.


Dari segi penilaian pula tambah firma berkenaan, saham BM GreenTech kini diniagakan kira-kira 14 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada FY27, iaitu 1.5 sisihan piawai di bawah purata tiga tahun.


"Situasi ini mencerminkan kelemahan jangka pendek segmen solar yang dilihat bersifat sementara, tetapi secara keseluruhan, kami berpandangan prospek jangka panjang adalah kekal positif," jelasnya lagi.


Perkembangan itu disokong projek utiliti berskala besar, perluasan kapasiti dan sokongan dasar tenaga hijau, namun prestasi jangka pendek masih dipengaruhi persekitaran operasi. - DagangNews.com