SCIB batal pembiayaan RM49 juta bersama MIDF, mahu jual SCIB Concrete kepada YTL Cement | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SCIB batal pembiayaan RM49 juta bersama MIDF, mahu jual SCIB Concrete kepada YTL Cement

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan pembatalan pembiayaan berjumlah RM49 juta daripada Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) yang sebelum ini diperuntukkan untuk anak syarikatnya, SCIB Concrete Manufacturing Sdn. Bhd. (SCM).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SCIB berkata pembiayaan itu sepatutnya digunakan untuk projek automasi dan pemodenan SCM. 

 

“Bagaimanapun, SCM telah menghantar notis pembatalan pada 19 Januari 2026 dan MIDF mengesahkan pembatalan itu berkuat kuasa pada 29 Januari 2026. 

 

“Tiada wang yang telah digunakan sebelum pembatalan.

 

“MIDF mengesahkan tiada hutang atau obligasi tertunggak daripada SCM berkaitan pembiayaan itu. Semua syarat dan dokumen berkaitan kini dianggap batal dan tidak sah,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pembatalan dibuat susulan cadangan SCIB untuk menjual semua saham SCM kepada YTL Cement (Sarawak) Sdn. Bhd. 

 

Penurusan SCIB menilai semula keperluan pembiayaan dan mendapati dana asal tidak lagi diperlukan.

 

SCIB menegaskan pembatalan ini tidak menjejaskan kewangan syarikat seperti nisbah hutang, pendapatan per saham, aset bersih, modal saham atau pegangan pemegang saham utama. 

 

Selain itu, tiada risiko kewangan atau undang-undang timbul kerana tiada hutang tertunggak kepada MIDF.

 

Tiada pengarah atau pemegang saham besar SCIB mempunyai kepentingan dalam pembiayaan ini. 

 

Syarikat itu memaklumkan pembatalan ini adalah untuk kepentingan terbaik SCIB dan tidak memerlukan kelulusan pihak berkuasa atau pemegang saham. - DagangNews.com