Risiko kesukaran peroleh permit kerja Singapura boleh kekang momentum UUE, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko kesukaran peroleh permit kerja Singapura boleh kekang momentum UUE, kata penganalisis

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 April – Isu kritikal berkaitan kesukaran mendapatkan permit kerja di Singapura dilihat boleh mengekang momentum pertumbuhan positif UUE Holdings Berhad, menurut penganalisis.


Dua firma penyelidikan namun kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana kumpulan tersebut, yang disokong pengembangan margin, peningkatan rantaian nilai dan keterlihatan pendapatan.


Antaranya, Public Investment Bank (PublicInvest) mengekalkan saranan 'outperform' terhadap saham syarikat ini, tetapi dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 55 sen berbanding 73 sen sebelum ini.


"UUE mencatatkan keuntungan bersih RM7.6 juta bagi 4QFY26, naik 159.2% tahun ke tahun (YoY), dan 18.8% suku ke suku (QoQ) didorong pengembangan margin khususnya operasi di Singapura," katanya.


Jelasnya lagi, bagi tahun kewangan penuh 2026 (FY26), keuntungan teras kumpulan tersebut mencecah sebanyak RM21.8 juta, dan melebihi jangkaan pasaran, disokong peningkatan hasil kira-kira 40.6%.


Prestasi positif ini tambah PublicInvest, dipacu kemajuan kerja dalam segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah serta pemulihan kukuh segmen pembuatan dan perdagangan paip berkualiti jenis HDPE.


Selain itu, firma penyelidikan berkenaan turut menekankan buku tempahan kukuh UUE bernilai RM536.4 juta di Malaysia dan Singapura, yang mampu memberikan visibiliti pendapatan sehingga tiga tahun.


"Kami namun memberi amaran isu kekangan permit kerja di Singapura boleh mengehadkan pelaksanaan projek, serta menyebabkan sumbangan pasaran itu berkembang perlahan daripada unjuran," katanya.

 

Sehubungan itu ujar PublicInvest, unjuran pendapatan kumpulan tersebut bagi FY27 dan FY28 disemak semula dengan masing-masing turun sebanyak 28.2% dan 35.9%, disebabkan timbul masalah berkenaan.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih UUE meningkat 118.8% pada suku keempat, disokong projek utiliti Singapura
 

UUE_DagangNews


Sementara itu, RHB Research pula masih lagi mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham UUE dengan TP yang tidak berubah iaitu 54 sen sesaham, sebagai mencerminkan potensi kenaikan sekitar 23%.


Firma penyelidikan tersebut menyatakan keputusan kewangan FY26 kumpulan itu melepasi jangkaan dengan keuntungan teras sekitar RM22.1 juta, disokong margin yang lebih baik daripada jangkaan.


“Margin kasar didapati berjaya meningkat kepada kira-kira 27.4% YoY didorong sumbangan tinggi dari pelbagai kontrak diraih di pasaran Singapura dan segmen pembuatan serta perdagangan,” katanya.


RHB Research turut menekankan kekuatan buku tempahan semasa UUE mencecah sebanyak RM536.4 juta, yang memberikan lebih dua tahun visibiliti pendapatan, selain disokong oleh prospek pertumbuhan. 


Perkembangan ini tambahnya, termasuk daripada kitaran perbelanjaan modal (capex) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SP PowerAssets di Singapura sebelum kontrak baharu dapat diberikan.


Selain itu jelas firma berkenaan, kontrak baharu yang bernilai RM16 juta dilihat signifikan kerana menandakan keupayaan kumpulan tersebut untuk bergerak ke segmen nilai tambah yang lebih tinggi.


"Walaupun memorandum persefahaman (MoU) bagi usaha sama kerja sudah luput, kami berpandangan UUE masih berpeluang menyertai tender secara sendiri tanpa perlu berkongsi untung," kata RHB Research.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan itu melihat asas perniagaan syarikat ini kekal kukuh dengan pertumbuhan disokong buku pesanan yang besar dan pengembangan segmen bernilai tinggi.


Bagaimanapun risiko pelaksanaan khususnya di Singapura serta ketidaktentuan kos bahan mentah dan kelewatan projek kekal sebagai faktor utama yang perlu diberi perhatian pelabur. - DagangNews.com