KUALA LUMPUR 23 April – UUE Holdings Berhad mencatat prestasi kewangan kukuh bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 apabila keuntungan bersihnya meningkat lebih dua kali ganda, disokong oleh pengukuhan operasi teras serta lonjakan ketara projek di Singapura.
Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah itu berkata ia merekodkan hasil suku tahunan sebanyak RM58.9 juta, meningkat 40.4 peratus tahun ke tahun, didorong oleh pelaksanaan projek yang lebih kukuh dalam segmen utama kumpulan.
“Segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah mencatat pertumbuhan 34.6 peratus, manakala segmen pembuatan paip HDPE melonjak 101.6 peratus, mencerminkan peningkatan permintaan serta kapasiti pelaksanaan yang lebih baik.
“Projek berkaitan Singapura turut menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila hasilnya meningkat lapan kali ganda kepada RM9.5 juta berbanding RM1.1 juta setahun sebelumnya, walaupun berdepan kesan kelemahan dolar Singapura sepanjang suku berkenaan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung kasar UUE meningkat 77.8 peratus kepada RM16.1 juta, manakala keuntungan selepas cukai melonjak 118.8 peratus kepada RM7.5 juta, disokong oleh campuran projek serantau yang lebih baik serta kecekapan pelaksanaan yang lebih tinggi.
Bagi keseluruhan tahun kewangan, UUE mencatatkan hasil RM209 juta, meningkat 22.9 peratus berbanding RM170 juta pada tahun sebelumnya, dengan segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah kekal sebagai penyumbang terbesar pertumbuhan.
Segmen itu menyumbang 89.3 peratus daripada jumlah hasil tahunan, diikuti pembuatan paip HDPE sekitar 10 peratus, manakala selebihnya disumbangkan oleh aliran pendapatan baharu iaitu EPCC sistem tenaga solar fotovoltaik yang kini menjadi salah satu segmen pertumbuhan baharu syarikat.
Dalam tempoh sama, untung kasar meningkat 11.3 peratus kepada RM52.3 juta hasil peningkatan kecekapan pelaksanaan projek, sekali gus mencerminkan pengurusan kos dan operasi yang lebih baik.
Bagaimanapun, keputusan tahun penuh turut dipengaruhi perbelanjaan sekali sahaja berkaitan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) sebanyak RM12.5 juta, menyebabkan keuntungan selepas cukai terlaras dicatatkan pada RM21.7 juta.
UUE mengekalkan buku tempahan kukuh berjumlah kira-kira RM536.4 juta, yang memberikan keterlihatan pendapatan stabil bagi tempoh akan datang serta menyokong prospek pertumbuhan jangka sederhana kumpulan.
Antara pencapaian penting ialah dua kontrak penggerudian arah mendatar bawah laut (subsea HDD) yang berjaya diperoleh, selain kontrak pertama bagi sistem bekalan elektrik 33kV dan voltan rendah, yang menandakan pengembangan strategik UUE ke dalam segmen mekanikal dan elektrikal.
Pengarah Urusan UUE Holdings Berhad, Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata keputusan kukuh itu disokong oleh pelaksanaan projek yang lebih efisien di Malaysia dan Singapura, selain pemulihan ketara operasi di Singapura apabila aktiviti projek kembali rancak.
Beliau berkata walaupun persekitaran global kekal mencabar akibat ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek, pengukuhan buku tempahan serta pengembangan ke dalam segmen baharu termasuk solar dan mekanikal serta elektrikal bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com








