KUALA LUMPUR 10 Jun — Midtown Group Berhad menumpukan perhatian kepada mendapatkan mandat pemegang saham bagi urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) dianggarkan mencecah RM55 juta.
Isu ini menjadi kritikal kerana kegagalan sokongan itu boleh menjejaskan kelancaran operasi harian kumpulan, memandangkan transaksi melibatkan pembelian bahan binaan penting bagi perniagaan terasnya.
Menurut makluman Bursa Malaysia, kumpulan itu yang sebelum ini dikenali Pasukhas Group Berhad, akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 25 Jun 2026, di Menara Lien Hoe, Petaling Jaya.
"Agenda utama yang dibicangkan adalah memohon mandat baharu majoriti pemegang saham bagi RRPT yang bersifat hasil atau dagangan bernilai RM55 juta dengan Joe Holding Berhad (JHB)," jelas Midtown.
Berdasarkan kepada kenyataan pekeliling syarikat tersebut, ia bercadang menjalankan urus niaga berkenaan dengan Joe Tech Solutions Sdn Bhd (JTS), iaitu anak syarikat milik penuh JHB sendiri.
Syarikat berkenaan tambahnya, dikenal pasti sebagai pemegang saham utama secara tidak langsung dalam Midtown melalui pegangan kira-kira 13.66% dalam ekuiti kepentingan GP Autobat Sdn Bhd.
Anggaran nilai RRPT yang dirancang merangkumi pembelian bahan binaan oleh Midtown Engineering Sdn Bhd sebanyak RM40 juta serta pembelian bahan binaan oleh Midtown Pearl Sdn Bhd iaitu RM15 juta.

"Selain usul itu, kumpulan ini akan mendedahkan beberapa isu kritikal berkaitan litigasi material yang dihadapi oleh dua anak syarikat, antaranya kes rayuan cukai oleh Pasukhas Sdn Bhd," tambahnya.
Subsidiari itu ujarnya, terlibat dalam rayuan ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Pesuruhanjaya Khas Cukai Pendapatan berkaitan isu taksiran tahun 2019.
Di samping itu, kes tuntutan mahkamah melibatkan baki pembayaran pertimbangan pembelian saham dalam Midtown Construction Sdn Bhd berjumlah RM2.36 juta, dengan rayuan ditetapkan sekitar Julai 2026.
Lembaga Pengarah Midtown menyarankan pemegang saham menyokong resolusi ini kerana ia dianggap demi kepentingan terbaik bagi mengurangkan beban pentadbiran dan kos mesyuarat berasingan.
"Bagaimanapun, pemegang saham utama berkepentingan, GP Autobat Sdn Bhd dan Joe Holding Berhad dikehendaki berkecuali daripada mengundi dalam resolusi berkaitan mandat tersebut," katanya.
Bagi pemegang saham yang tidak dapat hadir, borang proksi perlu diserahkan kepada Pendaftar Saham atau dihantar melalui e-mel selewat-lewatnya pada 23 Jun 2026. - DagangNews.com








