KUALA LUMPUR 10 Jun – Stratus Global Holdings Bhd, syarikat yang membangunkan sistem automasi kilang untuk industri semikonduktor merancang tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Sebagai persediaan ke arah penyenaraian tersebut, syarikat beribu pejabat di Pulau Pinang itu telah melantik UOB Kay Hian sebagai penaja jamin, penasihat utama dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.
Di bawah perjanjian itu, UOB Kay Hian akan menanggung sebarang lebihan saham yang tidak dilanggan oleh pelabur awam serta peruntukan bagi individu layak bagi memastikan proses penyenaraian berjalan lancar.
Ketua Eksekutif Stratus Global, Ryo Narisawa berkata IPO tersebut akan menjadi pemangkin kepada fasa pengembangan seterusnya kumpulan syarikat berkenaan.
“Kami percaya Stratus Global berada pada kedudukan kukuh untuk merebut peluang jangka panjang dalam rantaian nilai automasi semikonduktor,” katanya dalam kenyataan.
Stratus Global yang berpangkalan di Pulau Pinang mempunyai khidmat kepakaran dalam sistem pengendalian bahan automatik khususnya untuk industri semikonduktor.
Sistem yang dibangunkan syarikat itu digunakan untuk memindahkan dan menyimpan bahan kritikal seperti wafer silikon di dalam persekitaran terkawal seperti bilik bersih.
Pusat Operasi Baharu
Menurut draf prospektus, IPO yang dirancang itu akan melibatkan terbitan saham baharu kepada pelabur awam tanpa sebarang tawaran jualan daripada pemegang saham sedia ada.
Hasil kutipan IPO itu akan digunakan bagi tujuan pengembangan operasi termasuk pembinaan fasiliti baharu di Pulau Pinang yang akan berfungsi sebagai pusat pengeluaran tambahan, pusat penyelidikan serta gudang.
Syarikat itu kini sedang mengenal pasti lokasi sesuai dengan keluasan sekurang-kurangnya dua ekar bagi tujuan tersebut.
Ketika ini, Stratus Global mempunyai lebih 44,000 kaki persegi ruang pengeluaran di dua kilangnya di Bayan Lepas yang dilaporkan beroperasi hampir pada kapasiti penuh.
Pasaran Antarabangsa
Selain itu, syarikat turut merancang untuk membuka pejabat sokongan jualan dan kejuruteraan di Jepun, Taiwan, Jerman dan Amerika Syarikat bagi memperluaskan pasaran antarabangsa.
Langkah ini penting memandangkan lebih separuh daripada hasil pendapatan syarikat kini datang daripada pasaran luar negara.
Baki dana IPO akan digunakan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), modal kerja serta menampung kos penyenaraian.
Stratus Global juga berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh dengan tiada pinjaman bank, memiliki kira-kira RM92 juta tunai serta kemudahan kredit tidak digunakan sebanyak RM26 juta.
Bagi tempoh 12 bulan berakhir Mac 2025, syarikat mencatat keuntungan bersih RM66 juta dengan hasil sebanyak RM220 juta. - DagangNews.com








