Syarikat minyak Britain cadang ambil alih kepentingan empat projek luar pesisir PETRONAS bernilai RM3.38 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat minyak Britain cadang ambil alih kepentingan empat projek luar pesisir PETRONAS bernilai RM3.38 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Jun - Syarikat minyak dan tenaga berpangkalan di United Kingdom, EnQuest PLC, bercadang memperoleh kepentingan dalam empat kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) luar pesisir di Malaysia daripada PETRONAS menerusi transaksi bernilai sehingga AS$833 juta (RM3.38 bilion).

 

Cadangan pengambilalihan itu akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, EnQuest Petroleum Production Malaysia Limited, yang telah memeterai tiga perjanjian farm-out (FOA) berasingan dengan PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. dan E&P Malaysia Venture Sdn. Bhd. (EPMV).

 

Dalam satu kenyataan media, EnQuest berkata, transaksi tersebut melibatkan tiga pakej berasingan yang merangkumi kepentingan penyertaan dalam empat aset PSC luar pesisir Malaysia.

 

Daripada jumlah keseluruhan pertimbangan sehingga AS$833 juta itu, sebanyak AS$554 juta (RM2.25 bilion) akan dibayar pada peringkat awal selepas transaksi dimuktamadkan, yang dijangka berlaku pada 31 Disember 2026, tertakluk kepada beberapa syarat penyempurnaan biasa.

 

Antara syarat utama ialah pengecualian atau tamat tempoh hak pra-pilihan (pre-emption rights) yang berkaitan dengan Pakej 2, yang membolehkan rakan kongsi PSC sedia ada menyamai tawaran yang dikemukakan oleh EnQuest bagi aset berkenaan.

 

Menurut EnQuest, cadangan pengambilalihan tersebut dijangka memberi impak besar kepada profil operasinya dan akan diklasifikasikan sebagai pengambilalihan berbalik (reverse takeover) di bawah Peraturan Penyenaraian United Kingdom (UK Listing Rules).

 

Malah, syarikat itu menjelaskan bahawa pengambilalihan Pakej 1 sahaja sudah mencukupi untuk memenuhi definisi transaksi pengambilalihan berbalik berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Financial Conduct Authority (FCA).

 

Sehubungan itu, EnQuest akan menerbitkan prospektus gabungan serta pekeliling pemegang saham dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk meneruskan transaksi berkenaan.

 

Perkukuh Kehadiran Di Asia Tenggara

Cadangan pengambilalihan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada strategi EnQuest untuk memperkukuh kehadirannya di Asia Tenggara dan mengurangkan kebergantungan kepada operasi di Laut Utara United Kingdom yang berdepan tekanan akibat levi keuntungan tenaga yang lebih tinggi.

 

Sekiranya dimuktamadkan, transaksi itu dijangka meningkatkan skala operasi EnQuest dengan ketara serta memperkukuh portfolio aset pengeluaran syarikat di Malaysia, yang kini menjadi antara pasaran pertumbuhan utama kumpulan.

 

Bagaimanapun, EnQuest menegaskan bahawa semua maklumat yang diumumkan setakat ini adalah berdasarkan andaian bahawa ketiga-tiga pakej pengambilalihan berjaya disempurnakan sepenuhnya.

 

Syarikat itu turut memaklumkan akan memberikan perkembangan lanjut kepada pasaran sekiranya terdapat perubahan material atau mana-mana pakej pengambilalihan gagal mencapai penyempurnaan transaksi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EnQuest, Amjad Bseisu, berkata perjanjian itu mencerminkan fokus syarikat untuk membina portfolio yang lebih besar dan lebih pelbagai.

 

“Perjanjian ini mencerminkan fokus jelas kami untuk membangunkan portfolio yang lebih besar dan lebih pelbagai, sambil mengekalkan disiplin dalam merebut peluang yang mampu meningkatkan nilai, mengukuhkan penjanaan tunai serta menyokong pulangan jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya. - DagangNews.com