KUALA LUMPUR 10 Jun - Tune Protect Group Bhd mengunjurkan industri insurans akan terus bergerak perlahan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang susulan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global yang masih membelenggu prospek pertumbuhan sektor itu.
Namun, syarikat insurans tersebut yakin mampu mencatat prestasi lebih baik daripada pasaran keseluruhan menerusi pelbagai pemacu pertumbuhan yang dimilikinya.
Ketua Pegawai Strategi Tune Protect, Koot Chiew Ling berkata, syarikat menyasarkan pertumbuhan melebihi purata industri menerusi strategi yang tertumpu kepada pengukuhan perniagaan insurans am, pengembangan produk berkaitan pelancongan serta pertumbuhan perkhidmatan sampingan.
"Kami menjangkakan pertumbuhan kami akan mengatasi prestasi industri.
"Walaupun industri secara keseluruhannya dilihat bergerak mendatar, kami tidak melihat keadaan yang sama dalam syarikat kerana kami mempunyai beberapa pemacu pertumbuhan lain, khususnya dalam perniagaan insurans am dan tawaran perkhidmatan sampingan," katanya kepada pemberita pada majlis makan tengah hari bersama media di sini hari ini.

Diversifikasi Jadi Pemacu Pertumbuhan
Koot berkata, strategi pertumbuhan Tune Protect berteraskan tiga tonggak utama iaitu perniagaan insurans am di Malaysia, operasi insurans pelancongan serantau serta produk dan perkhidmatan sampingan.
Tumpuan utama syarikat tahun ini adalah untuk memperkukuh pertumbuhan segmen insurans am selepas berjaya mengembalikan perniagaan tersebut kepada keuntungan tahun lalu.
Insurans kenderaan dijangka menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
Bagi perniagaan serantau pula, Tune Protect mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan insurans pelancongan berikutan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, khususnya di Timur Tengah.
Bagi meluaskan capaian pasaran, syarikat sedang memperkukuh saluran pengedaran menerusi agensi pelancongan dalam talian (OTA) serta ejen pelancongan tradisional.
Pada masa sama, produk dan perkhidmatan sampingan semakin muncul sebagai penyumbang pendapatan yang penting kepada kumpulan.
Produk Delay Lounge Pass milik Tune Protect merekodkan pertumbuhan enam kali ganda dan menjana kira-kira RM20 juta hasil, mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan nilai tambah berkaitan perjalanan.
Berdasarkan momentum tersebut, syarikat turut memperluaskan tawaran sampingannya dengan memperkenalkan perkhidmatan kad SIM elektronik (e-SIM) serta peranti pengesan bagasi.
Selain itu, Tune Protect juga memperkenalkan manfaat tambahan yang dikaitkan dengan polisi insurans kenderaan, termasuk kemudahan parkir valet percuma kepada pemegang polisi terpilih.
Konflik Timur Tengah Terus Jadi Kebimbangan
Koot mengakui konflik yang berterusan di Timur Tengah kekal menjadi antara kebimbangan utama syarikat memandangkan pendedahannya kepada pasaran insurans pelancongan.
Menurut beliau, Tune Protect telah mula menyaksikan sedikit penurunan dalam perniagaan berkaitan pelancongan menerusi saluran perniagaan-ke-perniagaan (B2B), walaupun jumlah transaksi berkaitan syarikat penerbangan masih belum terjejas secara ketara.
Katanya, syarikat sedang memantau rapat perkembangan semasa, khususnya kemungkinan kenaikan harga bahan api yang boleh meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan dan seterusnya menjejaskan permintaan perjalanan serta jualan insurans.
Bagi mengurangkan risiko tersebut, Tune Protect memberi tumpuan kepada peluang dalam pasaran pelancongan domestik dan ASEAN yang masih menunjukkan daya tahan permintaan yang baik.
Perkukuh Kerjasama Strategik dan Tawaran Digital
Selain insurans pelancongan, syarikat turut meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam segmen insurans kenderaan menerusi kerjasama dengan rangkaian francais automotif, bank digital dan penyedia e-dompet.
Dalam perkembangan berkaitan, Koot berkata sambutan pelanggan terhadap produk insurans Travel Easy yang ditawarkan terus kepada pengguna kekal memberangsangkan.
Menurut beliau, Travel Easy merupakan antara produk digital berprestasi terbaik Tune Protect kerana menawarkan proses pembelian yang mudah, rebat terus kepada pelanggan serta pengalaman tuntutan yang lancar menerusi platform yang sama.
"Prestasinya sangat baik. Pelanggan boleh membuat pembelian dan mengemukakan tuntutan melalui platform yang sama, sekali gus menjadikan keseluruhan pengalaman lebih mudah dan lancar," katanya.
Ketika ketidaktentuan geopolitik terus membayangi prospek industri insurans, Tune Protect percaya strategi diversifikasi perniagaan, pengembangan ekosistem digital dan pertumbuhan perkhidmatan nilai tambah akan membolehkannya terus mencatat pertumbuhan meskipun sektor tersebut bergerak perlahan. — DagangNews.com








