Amway Malaysia lantik Leng Kek Mun sebagai Pengarah Urusan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amway Malaysia lantik Leng Kek Mun sebagai Pengarah Urusan baharu

Leng Kek Mun
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Jun – Amway (Malaysia) Holdings Bhd melantik Leng Kek Mun sebagai Pengarah Urusan baharu syarikat itu berkuat kuasa serta merta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Amway berkata, Leng yang berusia 45 tahun sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Amway Malaysia sejak 1 Mac 2024.

 

“Beliau bertanggungjawab menyelaras strategi jualan dan pemasaran bagi menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan.

 

“Pelantikan ini dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang jualan dan pemasaran, khususnya dalam industri jualan langsung dan barangan pengguna,” katanya.

 

Leng mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam jawatan kepimpinan jualan dan pemasaran di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan kepakaran dalam strategi jualan, penglibatan pelanggan, inovasi digital serta pembangunan perniagaan.

 

Sebelum menyertai Amway Malaysia, beliau merupakan Pengarah Jualan dan Pemasaran di Nu Skin Malaysia dan Brunei dengan peranan mengendalikan operasi pertumbuhan pasaran syarikat tersebut di rantau berkenaan.

 

Beliau juga pernah berkhidmat selama 13 tahun bersama Tupperware Brands Malaysia dan Singapura dengan memegang beberapa jawatan kanan termasuk Pengarah Jualan Nasional dan Pengurus Jualan Nasional.

 

Amway Malaysia berkata pelantikan Leng dijangka memperkukuh pelaksanaan strategi syarikat dalam mencapai sasaran pertumbuhan hasil dan keuntungan, selain mengukuhkan kedudukan jenama dalam pasaran tempatan.

 

Syarikat itu turut yakin pengalaman dan kepakaran beliau akan membantu mempercepatkan transformasi perniagaan serta memperkukuh daya saing Amway Malaysia dalam industri jualan langsung. - DagangNews.com