KUALA LUMPUR 10 Jun – Sapura Resources Berhad kembali pulih apabila berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (FY26).
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, ia didorong terutamanya oleh peningkatan prestasi menerusi operasi segmen hartanah serta syarikat usaha sama (JV) dan syarikat bersekutu.
Ujarnya, pencapaian keuntungan ini menandakan satu titik pusingan secara signifikan buat kumpulan itu berbanding kerugian bersih RM1.4 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya (FY25).
"Walaupun hasil menyusut kepada RM59.5 juta daripada RM82.9 juta, kecekapan operasi dan disiplin kos yang ketat membantu kumpulan ini kembali ke landasan keuntungan," kata Sapura Resources.
Pertumbuhan dipacu sumbangan positif syarikat JV, Impian Bebas Sdn Bhd (IBSB) dengan pemulihan operasi Menara Permata Sapura yang mencapai kadar penghunian 95%, serta hasil pusat konvensyen.
Sementara itu, syarikat bersekutu, Tenaga Cable Industries Sdn Bhd (TCI) terus memberikan prestasi lebih stabil dengan sumbangan bahagian keuntungan yang meningkat kepada kira-kira RM5.1 juta.
Selain itu ujarnya, langkah penutupan perniagaan yang tidak mampan, termasuk pengurusan pesawat dan perniagaan runcit, secara langsung turut meningkatkan margin keuntungan Sapura Resources sendiri.
"Segmen hartanah kekal sebagai penyumbang utama dengan Menara Permata Sapura mencatatkan kadar sewaan kompetitif, manakala aset di Jalan Tandang dan Jalan 219 kekal dihuni sepenuhnya," katanya.
Bagi segmen penerbangan pula jelasnya, kerugian berjaya dikurangkan hasil daripada peningkatan kecekapan operasi dan fokus kepada perkhidmatan pengendalian darat serta sewaan hangar.
Pengerusi Sapura Resources, Ahmad Jauhari Yahya, menyatakan tumpuan bagi tahun hadapan adalah untuk membina asas yang kukuh bagi pertumbuhan mampan dan terus memperkukuh tadbir urus korporat.
"Syarikat juga merancang untuk meningkatkan lagi kadar penghunian di Sapura@Mines bagi memacu pertumbuhan hasil masa depan secara konsisten," tambah beliau. - DagangNews.com








