Industri takaful raih sumbangan kasar RM16.38 bilion pada 2025, agih manfaat RM10.61 bilion kepada peserta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri takaful raih sumbangan kasar RM16.38 bilion pada 2025, agih manfaat RM10.61 bilion kepada peserta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Jun – Industri takaful Malaysia meneruskan momentum pertumbuhan yang berdaya tahan pada 2025 apabila mencatat jumlah sumbangan kasar sebanyak RM16.38 bilion, meningkat 4.73% berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai antara tonggak utama perlindungan kewangan rakyat.

 

Prestasi itu turut membolehkan pengendali takaful mengagihkan manfaat berjumlah RM10.61 bilion kepada pemegang sijil sepanjang tahun lalu, mencerminkan fungsi utama industri tersebut dalam menyediakan perlindungan kewangan ketika diperlukan.

 

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berkata, segmen Takaful Keluarga kekal menjadi penyumbang terbesar dengan pembayaran manfaat sebanyak RM7.91 bilion, sedikit meningkat berbanding RM7.89 bilion pada tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh tuntutan perubatan.

 

Sementara itu, segmen Takaful Am merekodkan pembayaran tuntutan sebanyak RM2.70 bilion, meningkat 16.88% daripada RM2.31 bilion pada 2024, dengan tuntutan berkaitan kenderaan bermotor terus menjadi komponen terbesar.

 

Selain menyediakan perlindungan kewangan, industri itu turut menyumbang sebanyak RM52.25 juta dalam bentuk zakat bagi menyokong pembangunan komuniti, selain mengagihkan RM1.30 bilion menerusi lebihan sumbangan dan manfaat kritikal kepada peserta yang layak.

 

Menurut MTA, pencapaian itu mencerminkan prinsip asas takaful yang berteraskan kerjasama, keadilan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan peserta.

 

Dari segi sumbangan, perniagaan baharu Takaful Keluarga kekal stabil pada RM9.74 bilion, manakala sumbangan bagi sijil berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Dalam segmen Takaful Am pula, sumbangan bertulis kasar meningkat 12.38% kepada RM6.64 bilion berbanding RM5.91 bilion pada 2024.

 

Takaful kenderaan kekal menjadi pemacu utama apabila menyumbang sekitar 69% daripada jumlah sumbangan bertulis kasar atau RM4.59 bilion, meningkat 12.57% selari dengan rekod jualan kenderaan baharu negara yang mencecah 820,752 unit.

 

Selain itu, perniagaan bukan kenderaan turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila sumbangan Takaful kebakaran meningkat kepada RM1.11 bilion, manakala Takaful kemalangan diri berkembang kepada RM422.67 juta.

 

Memastikan Perlindungan Kekal Mudah

Pengerusi Interim MTA, Borhanudin Samsudin berkata, industri kini memberi tumpuan kepada usaha memastikan perlindungan takaful kekal mudah diakses dan mampu dimiliki menerusi pendekatan perantaraan berasaskan nilai.

 

Beliau berkata, lebih 60% sasaran pelan strategik Hijrah27 telah berjaya dicapai setakat 2025, dengan fokus kini diberikan kepada peluasan perlindungan dalam kalangan komuniti terpinggir serta golongan rentan.

 

"Bagi tahun ini, kami menyasarkan pencapaian 80% daripada pelan strategik Hijrah27 dengan memberi tumpuan kepada aspek kesedaran takaful dan pembangunan bakat menerusi kerjasama bersama FINCO, Asian Institute of Insurance (AII) dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF)," katanya.

 

Bagi 2026, MTA menggariskan tiga keutamaan utama iaitu memperkukuh perlindungan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), memperluaskan pelaksanaan hibah sebagai instrumen perancangan harta serta memacu liberalisasi berfasa sektor Takaful Am bagi memastikan kestabilan pasaran.

 

Menurut Borhanudin, komitmen peserta untuk terus mengekalkan sijil perlindungan akan menjadi faktor penting dalam memastikan industri takaful terus berupaya memenuhi janji perlindungan bersama dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar. - DagangNews.com