KUALA LUMPUR 10 Jun – Ann Joo Resources Berhad menjual tanah perindustrian di Gurun, Kedah pada harga RM119.59 juta, sekali gus dijangka merekodkan keuntungan pelupusan sebanyak RM42.3 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, urus niaga itu melibatkan anak syarikat tidak langsungnya, Gurun Heavy Industrial Park Sdn Bhd (GHIP) dengan rakan usaha sama (JV) iaitu Transyear Sdn Bhd.
Mereka menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Zichen Malaysia Sdn Bhd pada 10 Jun 2026, membabitkan penjualan tanah pegangan bebas seluas 25.25 hektar yang dikenali sebagai Plot 5.
"Lokasi berkenaan terletak di Taman Perindustrian Berat Gurun Fasa 1B, dengan nilai pertimbangan tunai sebanyak RM119.588 juta atau kira-kira RM44 sekaki persegi," jelas Ann Joo Resources lagi.
Menurutnya, tanah tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan kawasan perindustrian baharu yang sedang dibangunkan di bawah perjanjian JV dimeterai dengan Transyear pada Disember 2025.
Ujarnya, pembeli lokasi berkenaan, Zichen Malaysia Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Putailai (Singapore) Pte Ltd, difahamkan bercadang membangunkan kemudahan pembuatan di atas tanah tersebut.
Daripada hasil transaksi itu, GHIP dijangka menerima bahagian hasil sebanyak RM69.2 juta yang akan digunakan bagi pembayaran pinjaman berjumlah RM33 juta serta modal kerja dan penyelesaian hutang.
"Pelupusan ini merupakan sebahagian strategi Ann Joo Resources memajukan bank tanah industri secara berperingkat, meningkatkan keterlihatan hasil dan aliran tunai kumpulan pada masa depan," katanya.
Tanah yang dijual itu mempunyai nilai buku bersih RM25.5 juta dan pembangunan infrastruktur asasnya berada pada tahap kira-kira 10%, dengan keseluruhan pembangunan dijangka selesai pada Mac 2027.
Lembaga Pengarah berpandangan transaksi berkenaan adalah demi kepentingan terbaik kumpulan serta tidak memberi kesan material terhadap modal saham, dan pegangan pemegang saham utama.
Pelupusan tersebut dijangka diselesaikan dalam tempoh 15 bulan tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat terdahulu termasuk kelulusan pecah sempadan tanah dan urusan berkaitan hak milik. - DagangNews.com








